SEOUL, 19 JAN – Tentera Darat Republik Korea Selatan (ROKA) dijangka akan menerima helikopter tempur baharu pada tahun ini.
Perkara tersebut dinyatakan oleh pihak Defense Acquisition Program Administration (DAPA) dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Light Armed Helicopter (LAH) keluaran Korea Aerospace Industries sedang dalam peringkat akhir pemasangan.
“Pihak DAPA merancang untuk melancarkan unit pertama LAH menjelang akhir tahun ini untuk kegunaan ROKA,
“Helikopter ini akan menggantikan peranan helikopter MD500 dan AH-1S,” kata Pengarah DAPA, Eom Dong-hwan.
Menurut beliau, helikopter tersebut akan memberikan sumbangan besar dalam meningkatkan keupayaan ROKA.
“Kami akan menyokong sepenuhnya LAH untuk menjadi produk eksport dalam pasaran global,” katanya dalam kenyataan.
Pada tahun lalu, DAPA telah meterai kontrak dengan KAI untuk menghasilkan 10 buah LAH untuk kegunaan ROKA.
KAI LAH merupakan helikopter kedua domestik yang dihasilkan oleh Korea Selatan selepas Surion.
Helikopter ini berasaskan rekaan Eurocopter ECC155 dan merupakan hasil kerjasama Airbus Helicopters dengan KAI pada tahun 2015. Ia direka untuk melaksanakan pelbagai misi termasuk operasi tempur, bantuan serangan dan juga mengangkut anggota tentera.
KAI LAH dibangunkan dari semenjak 2015 dan melibatkan pelaburan sebanyak KRW 653.9 bilion (RM2.31 bilion).
Helikopter ini dilengkapi dengan sistem penderia Target Acquisition and Designation Sights (TADS), sistem kawalan penerbangan automatik dan sistem peta elektronik.
Dari segi persenjataan, KAI LAH dilengkapi dengan misil serangan darat Cheongum (Taipers) yang dihasilkan oleh Hanwha. Misil ini mampu untuk menggempur sasaran sejauh 8 kilometer dan mempunyai berat sebanyak 8 kilogram.
Selain itu, helikopter ini turut dilengkapi dengan 2 unit pelancar Hydra 70 dan satu laras meriam automatik 20mm M197. – airtimes.my
#AirTimes #koreaselatan #KAI #LAH