Home Teknologi Pertahanan Indonesia hantar kapal tentera laut ke Asia Barat, bantu mangsa perang Gaza

Indonesia hantar kapal tentera laut ke Asia Barat, bantu mangsa perang Gaza

by M.Daim

JAKARTA, 19 JAN – Kerajaan Indonesia telah menghantar sebuah kapal tentera laut negara itu ke Asia Barat bagi menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa perang di Gaza.

Pelepasan kapal KRI DR. RADJIMAN WEDYODININGRAT-992 telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto.

“Pada hari ini saudara akan berangkat melaksanakan tugas kemanusiaan iaitu menyampaikan bantuan kepada saudara-saudara kita di Palestin,” kata Menteri Pertahanan Indonesia semasa menyempurnakan pelepasan KRI DR. RADJIMAN WEDYODININGRAT-992, di Jakarta Utara, semalam.

Menurut beliau, wilayah bergolak di Gaza sedang mengalami musibah dan penderitaan besar akibat serangan bertubi-tubi di luar batas kemanusiaan dan melanggar peraturan antarabangsa.

“Atas nama pemerintah, saya menyampaikan ucapan selamat bertugas,

“Saudara-saudara akan melewati kawasan laut yang berbahaya yang saat ini sedang berkecamuk perang,

“Kita adalah negara yang tidak terlibat dalam perang tetapi kita memiliki solidariti dan tanggungjawab kemanusiaan dengan saudara-saudara kita di Palestin,” katanya.

Pada masa yang sama, Prabowo menekankan agar anggota KRI DR. RADJIMAN WEDYODININGRAT-992 untuk menjaga nama bai Indonesia, TNI, dan TNI-AL.

Sementara itu, TNI-AL dalam satu kenyataan berkata, angkatan laut negara republik itu telah mengumpulkan bahan bantuan dari seluruh Indonesia untuk warga Gaza semenjak November 2023 lalu.

“Bantuan kemanusiaan yang akan disalurkan antara lain berupa, bahan makanan, selimut, pakaian, kelengkapan bayi, pakaian wanita, susu, khemah lapangan, kelengkapan kebersihan, air mineral, kelengkapan ibadah, dan lain sebagainya,

“Bantuan ini dihantar menuju Pelabuhan Al Arish di Mesir,” kata TNI-AL di laman rasminya.

Menurutnya, bantuan ini akan diserahkan kepada mangsa perang Gaza melalui pihak Bulan Sabit Merah Mesir.

KRI DR. RADJIMAN WEDYODININGRAT-992 akan berlayar ke Belawan dan Al Arish. Dalam perjalanan pulang ke Indonesia, kapal ini akan menuju ke Jeddah dan Batam sebelum tiba ke Jakarta.

Pelayaran ini dijangka akan mencabar kerana kapal ini perlu melalui kawasan perairan bergolak iaitu di Teluk Aden dan juga Laut Merah.

Kapal ini merupakan kapal hospital kedua kelas SUDIROHUSODO yang dibina oleh PT PAL. Kapal ini ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TNI-AL pada 19 Januari 2023..

KRI DR. RADJIMAN WEDYODININGRAT-992 adalah sepanjan 124 meter dan mampu berlayar pada kelajuan 18 knot.

Selain itu, kapal ini direka untuk berlayar selama 30 hari dan menampun seramai 643 orang termasuk 159 pesakit.

Kapal ini mula dibina pada 21 Januari 2021 dan mula dilancarkan pada 15 Ogos 2022.

Pada ketika ini, TNI-AL mengoperasikan 2 buah kapal kelas ini di mana KRI DR. WAHIDIN SUDIROHUSODO-991 merupakan kapal pertama. – airtimes.my

#AirTimes #Indonesia #TNIAL

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!