[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=OnZv_Y8a7NY[/embedyt]
KUANTAN, 19 JAN – Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob hari ini menyatakan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) yang pertama akan diturunkan ke permukaan air pada pertengahan 2024.
Menurut beliau, ia merupakan satu perkembangan baik berhubung perolehan kapal tersebut.
“Saya difahamkan kemajuan program LCS adalah baik dan kapal yang pertama dijangka akan diturunkan ke air pada bulan Mei atau Jun tahun ini,
“Itu satu pencapaian yang signifikan untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan juga untuk firma yang membina kapal tersebut,” katanya semasa sidang media selepas Upacara Penamaan dan Pentauliahan Patrol Craft (PC) KD SRI SABAH dan KD SRI SARAWAK di Jeti Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan.
Beliau menjelaskan, LCS pada ketika ini sedang dibina di atas cradle di Limbungan Boustead Naval Shipyard.
Panglima Tentera Laut menambah, LCS pertama akan menerusi fasa seterusnya selepas diturunkan ke air.
Panglima Tentera Laut menyatakan ia akan diikuti oleh LCS ke-2 hingga ke-5 dalam tempoh setiap 8 bulan berikutnya.
“Selepas diturunkan ke air, kita ada tempoh 22 bulan untuk buat ujian, melengkapkan lagi pemasangan sistem dan peralatan sebelum kita boleh menerima ia beroperasi,” katanya.
Menurut beliau, LCS pertama dijangka akan beroperasi pada akhir 2026.
“Jadi kejayaan yang pertama ini amat kritikal dalam menentukan kesinambungan projek ini khususnya untuk kapal ke-2 sehinggalah kapal ke-5,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Abdul Rahman menyatakan TLDM telah membuat kajian semula Pelan Transformasi 15-to-5. Kajian tersebut dilakukan bagi melaksanakan penjajaran semula perancangan strategik untuk pembangunan aset armada TLDM.
Menurutnya, kelewatan program perolehan LCS yang berlaku sebelum ini adalah antara faktor yang memerlukan penjajaran semula 15-to-5.
“Sekarang ini kita telah membuat kajian semula ataupun kita panggil proses penjajaran semula 15-to-5 ini,
“Dokumen pelan ini ada menyatakan program dan garis masa untuk pembinaan serta perolehan aset baharu,” katanya.
Abdul Rahman menyatakan penjajaran baharu 15-to-5 akan dirasmikan pada 27 April 2024 ini bersempena Hari TLDM ke-90.
“Penjajaran itu sedikit Sahaja akan melibatkan perancangan keseluruhan perolehan aset-aset TLDM,” jelasnya. – airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #TLDM #Boustead