Home Pertahanan dan Keselamatan 40 tahun berlalu, TLDM tetap peringati insiden KD SRI PERAK

40 tahun berlalu, TLDM tetap peringati insiden KD SRI PERAK

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 15 JAN –  Tanggal 8 Januari 1984, negara telah dikejutkan dengan khabar yang menyayat hati.

Pada hari bersejarah tersebut, KD SRI PERAK telah tenggelam semasa melaksanakan pelayaran di Laut China Selatan.

Semasa kejadian, kapal tersebut sedang melakukan pelayaran bersama KD HANG TUAH dan KD SRI TERENGGANU.

26 daripada 29 anak-anak kapal selepas KD SRI PERAK tenggelam ditelan samudera.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob merupakan salah seorang anak kapal yang bertugas di KD SRI PERAK semasa kejadian. Foto: TLDM

Insiden tenggelamnya kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD SRI PERAK tetap diingati walaupun 40 tahun telah berlalu.

Baru-baru ini, seramai 16 bekas warga terakhir KD SRI PERAK telah berkumpul di KD SRI GOMBAK bagi memperingati kejadian tersebut.

Turut hadir ke majlis yang diadakan pada 14 Januari lalu ialah, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob. Beliau merupakan salah seorang mangsa yang terlibat dalam insiden 8 Januari itu.

Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil diadakan semasa majlis memperingati insiden KD SRI PERAK. Foto: TLDM

Menurut TLDM di akaun media sosial rasminya, Panglima Tentera Laut pada ketika itu merupakan seorang Pegawai Kadet Kanan dan merupakan warga kapal terakhir yang masih berkhidmat.

Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran buku KD SRI PERAK – The Survivors’ Citation terbitan Pusat Strategi Maritim dan Sejarah (PUSMAS) TLDM.

Buku ini merekodkan pengkisahan pelayaran terakhir KD SRI PERAK berserta testimoni dan pengalaman warga kapal semasa insiden tersebut berlaku sehingga mereka berjaya diselamatkan.

Air Times sebelum ini berkesempatan menemu bual dengan salah seorang anak kapal KD SRI PERAK yang terlibat, Bakar Satiman.

Beliau menyaksikan sendiri 3 rakannya yang masih berpaut pada kapal ketika KD SRI PERAK tenggelam.

“Saya nampak sendiri mereka berpaut di guard rail semasa kapal tenggelam. Mereka bertiga akhirnya terjun ke laut dan gelombang datang dengan kuat,” kata veteran TLDM itu.

Menurut beliau, ketiga-tiga warga TLDM tersebut hilang dari pandangan selepas dihempas ombak kuat.

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=cEYe_wxiZIs[/embedyt]

“Saya cukup sedih bila tengok tiba-tiba kawan kita tak ada dan kita tahu dia akan hilang terus,

“Sampai sekarang pun, kadang-kadang kita pun teringatlah mereka yang hilang,” kata Bakar kepada Air Times.

KD Sri Perak merupakan kapal kelas KEDAH (nota: bukan kelas KEDAH untuk OPV). Kapal ini dibina di Portsmouth, England.

Kapal ini ditauliahkan ke dalam perkhimatan TLDM pada Mac 1963.

Genap 20 tahun 6 bulan 3 hari KD SRI PERAK menabur jasa kepada negara, kapal ini telah tenggelam ketika melaksanakan tugas kepada negara di Laut China Selatan. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #TLDM

Related Articles

Leave a Reply