SEOUL, 12 JAN – Pasukan tentera Korea Selatan diarah untuk pertingkatkan pemantauan di sempadan terutamanya di kawasan barat negara itu.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Panglima Angkatan Tentera Korea Selatan (Joint Chiefs of Staff, JCS) Kim Myeong-soo berikutan perkembangan semasa yang berlaku di negara itu semenjak akhir-akhir ini.
“Kita perlu bersiap sedia dan bertindak seperti mana yang diarahkan sekiranya sesuatu perkara berlaku,” kata Kim seperti yang dikongsikan oleh JCS dalam akaun media sosial rasmi mereka.
Menurut beliau, semua anggota tentera yang bertugas di sempadan tanpa mengira pangkat untuk sentiasa berwaspada.
Terdahulu, Kim melakukan pemeriksaan dan lawatan terhadap unit pemantauan pesisir serta pangkalan radar di Taean, 109 kilometer barat daya Seoul.
Beliau menjelaskan, pengawasan yang teliti dan sikap sentiasa berwaspada adalah asas penting dalam operasi keselamatan pesisir.
Korea Selatan sebelum ini berhadapan dengan situasi cemas apabila Pyongyang telah melepaskan tembakan meriam dan roket ke kawasan berhampiran Pulau Yeonpyeongdo.
Tembakan artileri telah dilancarkan oleh Korea Utara ke kawasan sempadan maritim kedua-dua negara (Northern Limit Line,NLL) selama 3 hari berturut-turut pada 5 hingga 7 Januari 2024.
Seoul memutuskan untuk menarik balik kewujudan zon pemampan NLL yang dibentuk semasa Perjanjian Inter Korea dimeterai pada tahun 2018.
Pada 8 Januari lalu, Presiden Korea Utara, Kim Jong Un sekali lagi menegaskan pendiriannya terhadap Seoul.
Menurutnya, Korea Selatan adalah musuh utama dan akan dimusnahkan sekiranya memberikan ancaman.
Pada akhir tahun lalu, pemimpin Korea Utara itu telah menyatakan hubungan Seoul-Pyongyang sebagai dua negara bermusuhan. Selain itu, Kim Jong Un menyatakan tentera Korea Utara perlu bersiap sedia untuk menghadapi peperangan.
Media Korea Selatan dan antarabangsa melaporkan, kenyataan berbaur ancaman yang dikeluarkan oleh Kim Jong Un adalah retorik yang sering dilakukan bagi mempengaruhi pilihan raya.
Tahun 2024 menyaksikan dua pilihan raya utama di negara seteru Pyongyang. Korea Selatan dijangka akan mengadakan pilihan raya parlimen pada April ini. Sementara itu, Amerika Syarikat akan mengadakan pilihan raya presiden pada November kelak. – airtimes.my
#AirTimes #Global #KoreaSelatan