Home Semasa Penimbang tara kes Sulu dipenjara, kejayaan kepada Malaysia – Azalina

Penimbang tara kes Sulu dipenjara, kejayaan kepada Malaysia – Azalina

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 8 JAN – Penimbang tara kes Sulu, Gonzalo Stampa telah didapati bersalah kerana menghina mahkamah dan dijatuhkan penjara selama 6 bulan.

Hukuman telah dijatuhkan oleh Mahkamah Madrid di Sepanyol.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Stampa telah dihukum penjara 6 bulan dan dilarang untuk mengendalikan tugas sebagai penimbang tara.

“Usaha Kerajaan Madani dalam menangani dan menghentikan penipuan Sulu tidaklah sia-sia,

“Kami berterusan dalam perjuangan untuk keadilan, dan akan meneruskan usaha kami untuk membatalkan Final Award ( Anugerah Akhir),” kata Azalina dalam satu hantaran di akaun media sosial beliau, hari ini.

Menurut Azalina, beliau menyifatkan keputusan itu sebagai satu kejayaan bagi Malaysia dalam mempertahan kedaulatan tanah air.

Stampa dituduh atas dakwaan jenayah di Mahkamah Madrid pada Disember lalu. Dia selaku penimbang tara telah menganugerahkan pampasan sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia kepada waris Kesultanan Sulu.

Penimbang tara terbabit turut berhadapan tuduhan jenayah yang serius kerana menghina mahkamah dan amalan profesion tanpa kelayakan.

Nama Stampa menjadi tumpuan negara apabila dia telah memberikan anugerah akhir sebanyak RM62.59 bilion kepada kumpulan 8 orang individu yang mendakwa diri mereka sebagai ‘waris Kesultanan Sulu’.

Pada 25 Mei 2020, Stampa telah mengemukakan anugerah timbang tara kepada kumpulan tersebut. Namun begitu, Mahkamah Tinggi Keadilan Sepanyol mengarahkan Stampa menghentikan prosiding timbang tara tersebut.

Pihak Mahkamah Tinggi Keadilan Sepanyol mendapati kumpulan individu terbabit tidak mengeluarkan notis mengikut undang-undang antarabangsa kepada Malaysia. Namun begitu, Stampa tidak mempedulikan keputusan mahkamah.

Sebaliknya, Stampa telah cuba meneruskan kes tersebut di Perancis.

Kes yang berlarutan ini telah membawa kepada cubaan ‘waris Kesultanan Sulu’ merampas aset Petronas di Azerbaijan dan Luxermbourg.

Selain itu, mereka turut cuba merampas tiga hartanah milik kerajaan Malaysia di Paris.

Lantaran daripada tindakan Stampa dan Sulu, Malaysia telah mengambil tindakan dan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan Perancis dan Mahkamah Rayuan The Hague.

Pada Jun 2023, rayuan dikedua-dua mahkamah terbabit telah berpihak kepada Malaysia dan merupakan antara kejayaan penting dalam usaha negara dalam mempertahankan kedaulatan asetnya dari ancaman asing. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Semasa #Daulat

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!