Home SemasaGlobal Houthi perlu hentikan serangan di Laut Merah atau menerima padah

Houthi perlu hentikan serangan di Laut Merah atau menerima padah

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 4 JAN – Kumpulan Houthi digesa untuk menghentikan serangan terhadap kapal komersial yang melalui Laut Merah.

Perkara tersebut disuarakan oleh 14 kerajaan dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri Australia, pada hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, serangan yang berterusan di Laut Merah adalah menyalahi undang-undang dan menganggu kestabilan.

“Tiada justifikasi yang sah untuk menyasarkan kapal awam dan kapal tentera laut dengan sengaja,” jelas kenyataan bersama Amerika Syarikat, Australia, Bahrain, Belanda, Belgium, Denmark, Itali, Jerman, Jepun, Kanada, New Zealand, Singapura, dan United Kingdom.

Jelas kenyataan itu, sebarang serangan terhadap kapal yang melalui Laut Merah, termasuk kapal komersil merupakan ancaman keselamatan secara langsung terhadap kebebasan pelayaran.

Menurutnya, Laut Merah merupakan salah satu laluan perairan yang kritikal di dunia.

Laut Merah merupakan sebahagian daripada laluan pelayaran yang menghubungkan Lautan Hindi dan Laut Mediterranean, melalui Selat Suez.

Jelas kenyataan itu, Laut Merah merangkumi 15 peratus daripada jumlah pelayaran dagangan di peringkat global.

“Ini termasuklah 8 peratus perdagangan bijirin, 12 peratus perdagangan minyak serta 8 peratus gas cecair,

“Syarikat perkapalan antarabangsa terpaksa mengubah laluan pelayaran mereka ke Tanjung Harapan (Cape of Good Hope),

“Perubahan laluan pelayaran telah meningkatkan kos dan melewatkan penghantaran barang dagangan,

“Ini sekaligus menjejaskan pergerakan makanan, minyak dan bantuan kemanusiaan di seluruh dunia,” kata kenyataan itu.

Kerajaan dari 13 negara itu turut menggesa Houthi untuk berhenti melancarkan serangan terhadap mana-mana kapal yang melalui Laut Merah.

“Mereka (Houthi) perlu membebaskan kapal-kapal dan kru yang telah ditahan,

“Houthi akan menerima kesan daripada tindakan mereka untuk terus mengancam kehidupan, ekonomi dunia dan juga kebebasan pelayaran di kawasan perairan kritikal,” jelas kenyataan itu. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Global #LautMerah #Houthi

Related Articles

Leave a Reply