TOKYO, 3 JAN – Sebuah pesawat penumpang milik Japan Airlines (JAL) mengalami nahas ketika mendarat di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.
Pesawat Airbus A350-900 penerbangan JAL516 telah berlanggar dengan sebuah pesawat Bombardier DHC-8 milik Pasukan Pengawal Pantai Jepun (Japan Coast Guard, JCG).
Kejadian berlaku ketika pesawat penumpang JAL melakukan pendaratan pada pukul 5.47 petang waktu tempatan.
Media Jepun melaporkan kesemua 379 penumpang dan anak kapal pesawat JAL516 berjaya menyelamatkan diri sebaik sahaja nahas berlaku.
Pihak JAL dalam satu kenyataan mengesahkan kebakaran berlaku selepas pelanggaran dengan pesawat JCG.
“Kami mengesahkan kesemua penumpang dan anak kapal telah selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, pihak polis Jepun mengesahkan 5 daripada 6 anggota JCG disahkan maut dalam kejadian tersebut.
Seorang lagi mangsa telah terselamat tetapi mengalami kecederaan.
Lantaran dari pelanggaran tersebut, pihak pengurusan Lapangan Terbang Haneda telah menggantung operasi selama hampir 5 jam.
3 daripada 4 landasan udara telah kembali beroperasi pada pukul 9.30 malam waktu tempatan.
Pihak JCG mengesahkan pesawat DHC-8 yang terlibat dalam nahas itu telah ditugaskan untuk menghantar bantuan kepada mangsa gempa bumi.
Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengarahkan pihak kerajaan untuk melakukan siasatan menyeluruh berhubung insiden tersebut.
Airbus A350-900 merupakan pesawat penumpang jarak jauh yang mempunyai 2 enjin. Kedua-dua struktur sayap dan fiuslaj pesawat keluaran Airbus ini kebanyakannya diperbuat daripada polimer yang diperkukuh dengan gentian karbon. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Jepun #Global