Home Semasa Boikot: NGO disaman McDonald’s Malaysia

Boikot: NGO disaman McDonald’s Malaysia

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 30 DIS – Kumpulan NGO Boikot, Pelupusan dan Sekatan (BDS) melaporkan pihak mereka telah menerima writ saman dari pihak syarikat makanan segera, McDonald’s Malaysia.

Perkara tersebut disahkan oleh kumpulan NGO terbabit dalam satu kenyataan ringkas di akaun media sosial rasminya.

“Kami, BDS Malaysia, telah menerima writ saman dari McDonald’s Malaysia kerana didakwa syarikat tersebut,

“Kami menafikan perkara tersebut dan ia akan ditentukan oleh pihak mahkamah,” katanya.

Jelas BDS, pihaknya telah berurusan dengan pihak guaman dan akan mengeluarkan kenyataan yang lebih terperinci.

BDS Malaysia dalam laman rasminya menjelaskan mereka merupakan sebahagian daripada gerakan global yang bermula semenjak 2005.

“Pada tahun 2005 aktivis Palestin mula bersatu menyeru agar rakyat global bertindak balas terhadap perjuangan Palestin untuk kebebasan, keadilan dan kesaksamaan,

“Gerakan ini adalah dalam bentuk boikot, pelupusan dan sekatan (BDS) sebagai satu bentuk tekanan tanpa kekerasan ke atas Israel,

“Pergerakan BDS telah dilancarkan oleh 170 kesatuan Palestin, rangkaian pelarian, pertubuhan wanita, persatuan profesional, jawatankuasa penentangan popular dan badan masyarakat sivil Palestin yang lain,

“BDS Malaysia adalah sebahagian daripada gerakan global ini,” jelasnya.

Ketika Perang Gaza 2023 memuncak, jenama McDonald’s menjadi tumpuan global termasuk di Malaysia. Ini terutamanya selepas McDonald’s Israel mengumumkan pihaknya mengedarkan makanan secara percuma kepada tentera.

Pada Oktober lalu, McDonald’s Malaysia telah tampil memberikan penjelasan bahawa tindakan restoran di Israel adalah bersifat peribadi dan tidak mempunyai kaitan dengan pihak di negara ini.

“Keputusan unilateral yang dibuat oleh pemegang francais tidak sepatutnya dianggap sebagai tindakan global McDonald’s,

“Tindakan operator McDonald’s di Israel adalah tindakan persendirian; ia bukanlah keputusan di pihak global dan tidak menerima sokongan dari operator tempatan yang lain,

“Adalah penting untuk memahami bahawa McDonald’s Malaysia ialah syarikat operasi tempatan sejak pengambilalihan dalam Lionhorn Pte. Ltd. di bawah syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi pada 2017,” kata pihak restoran makanan segera dalam satu kenyataan pada 15 Oktober lalu.

Pihak McDonald’s Malaysia dalam satu kenyataan lain mengesahkan mereka telah menderma sebanyak RM1juta kepada Tabung Palestin yang dikendalikan oleh Pejabat Perdana Menteri Malaysia. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Semasa

Related Articles

Leave a Reply