KUALA LUMPUR, 29 Dis – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, keadaan jangkitan COVID-19 di negara ini masih terkawal.
Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kebanyakan kes jangkitan virus itu hanya mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.
Menurutnya, untuk Minggu Epid ME-51 dari 17 hingga 23 Disember 2023, kadar kemasukan pesakit yang menghidap COVID-19 di hospital adalah pada 0.5 peratus dengan kadar kematian 0.08 peratus.
“Ini bermaksud kadar untuk kedua-dua parameter ini kekal pada tahap yang rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dzulkefly berkata, sehingga kini, tiada varian baharu dikesan di Malaysia dan varian yang sedang menular di negara ini masih lagi varian Omicron dengan subvariannya XBB.1.16, XBB.1.5, EG.5 dan termasuk JN.1.
Jelasnya, subvarian yang sedang menular itu diketahui tidak menyebabkan kes yang lebih teruk.
Mengulas lanjut, beliau berkata, virus COVID-19 akan terus berada dalam kehidupan sama seperti virus salur pernafasan yang lain seperti influenza.
Justeru, Dzulkefly menasihat orang ramai supaya sentiasa mengamalkan keseimbangan dari segi kesihatan dan kehidupan semasa musim peningkatan kes-kes jangkitan berjangkit.
“Kumpulan rentan seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah adalah amat digalakkan untuk memakai pelitup muka semasa berada di tempat sesak atau menggunakan pengangkutan awam,
Orang ramai dinasihatkan agar meneruskan tanggungjawab penjagaan kendiri (pemakaian pelitup muka di situasi yang memerlukan, melakukan TRIIS dan kemaskini status pada MySejahtera) – Dz Dzulkefly
#semasa #airtimes #COVID19 #KKM #Malaysia