Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut TLDM, TNI-AL perkukuh keselamatan maritim menerusi OP PATKOR MALINDO

TLDM, TNI-AL perkukuh keselamatan maritim menerusi OP PATKOR MALINDO

by Nurulhuda

LUMUT, 23 Dis – Kerjasama pertahanan maritim Malaysia – Indonesia terus diperkasakan menerusi pelaksanaan Operasi Patroli Terkoordinasi Malaysia Indonesia Siri 162/23 (Op PATKOR MALINDO 162/23) di perairan Selat Melaka.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) memaklumkan, operasi gabungan itu dilaksanakan sejak 6 hingga 19 Disember lalu.

Menurut MPA Barat, operasi berkenaan melibatkan KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL, KD JERAI dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta KRI LEPU dan KRI TORANI dari Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL).

“Kesemua aset ini telah melaksanakan operasi rondaan di laut dari 8 hingga 17 Disember selepas Majlis Pembukaan di Pangkalan Utama Angkatan Laut 1 (LANTAMAL 1), Belawan, Indonesia pada 6 Disember lalu,

“Sewaktu di laut, pelbagai aktiviti peningkatan kebolehoperasian TLDM dan TNI-AL telah dilaksanakan melibatkan latihan Panduarah, Kibaran Bendera, Manuvera Taktis dan Pertukaran Maklumat,

“Latihan bersama tersebut menyumbang kepada peningkatan kebolehoperasian antara kedua angkatan laut dalam memastikan keselamatan pengguna di laluan perkapalan utama dunia,” jelasnya dalam kenyataan, malam tadi.

Pelaksanaan Op PATKOR MALINDO yang telah memasuki siri ke-162 sejak dimulakan pada tahun 1983 membuktikan jalinan kerjasama pertahanan antara TLDM dan TNI-AL yang kukuh.

“Operasi ini juga menzahirkan komitmen kedua-dua angkatan laut melaksanakan operasi gabungan dengan fokus utama memastikan keamanan di Selat Melaka,

“Op PATKOR MALINDO merupakan instrumen TLDM dan TNI-AL berganding bahu di dalam mengekang ancaman keselamatan dan jenayah rentas sempadan yang lain di perairan ini,

“Peluang kerjasama sebegini akan sentiasa dimanfaatkan sepenuhnya oleh TLDM dalam menguruskan cabaran keselamatan di perairan Selat Melaka,” jelas MPA Barat lagi.

Majlis Penutup operasi telah disempurnakan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato Ts. Shamsuddin Ludin di Markas Wilayah Laut 3 (MAWILLA 3), Langkawi pada Selasa lalu.

Turut hadir, Panglima Komando Armada 1, TNI-AL, Laksamana Muda TNI Achmad Wibisono, S.E. CHRMP, dan Panglima Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama Roslee Mohamad Isa.

Dalam masa yang sama, MPA Barat menjelaskan, keutuhan jalinan kerjasama TLDM dan TNI-AL melalui Op PATKOR MALINDO mampu memastikan perairan Selat Melaka selamat dari unsur-unsur perlanggaran undang-undang maritim, seterusnya mengukuhkan keyakinan komuniti maritim di perairan ini. -airtimes.my

#pertahanan #TLDM #Malaysia #Indonesia #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!