Home Semasa Imigresen nafi notis tular kenakan penalti terhadap pengendali pengangkutan awam

Imigresen nafi notis tular kenakan penalti terhadap pengendali pengangkutan awam

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan pihaknya akan mengenakan tindakan kepada pemandu pengangkutan awam yang membawa warga asing tanpa mempunyai dokumen sah seperti tular melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh bagaimanapun mengesahkan, notis tersebut adalah palsu dikeluarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, JIM memohon supaya orang ramai tidak terpedaya dengan sebarang maklumat yang belum tentu kesahihannya.

“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa tidak mengenakan sebarang tindakan kepada pemandu-pemandu kenderaan awam yang tidak mengetahui status warga asing yang menggunakan perkhidmatan mereka,

“JIM sedia maklum bahawa pemandu tidak mempunyai kuasa dan tidak perlu dibebankan dengan pembuktian status penumpang yang mereka bawa,” jelasnya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan, JIM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah Akta imigresen 1959/63.

“Jika mereka didapati dengan segaja memberi perlindungan kepada mana-mana orang yang mengetahuinya telah melanggar peruntukan Akta, mereka boleh disabit dengan hukuman di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63,” tambahnya lagi.

Terdahulu, tular notis dalam bahasa Inggeris yang kononnya dikeluarkan oleh jabatan terbabit. Ia mendakwa pengusaha bas, kereta api, transit aliran ringan dan teksi akan didenda RM35,000 dan penjara 12 bulan jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen.

NOTIS palsu yang tular di media sosial sejak semalam.

Ia mendakwa, penumpang yang menaiki perkhidmatan itu perlu mempunyai permit atau visa pendatang asing sah.

Mengulas lanjut, beliau menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Sila layari portal rasmi dan akaun media sosial rasmi JIM untuk mendapatkan maklumat tepat serta terkini berkaitan Jabatan ini,” ujarnya lagi.-airtimes.my

#semasa #JIM #tular #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!