KOTA SAMARAHAN, 23 Dis – Bekas Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis dilantik sebagai Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) yang ke-30.
Mohamed Fauzi, 53, menggantikan Mejar Jeneral Datuk Hassan Embong yang akan bertukar keluar dan menjawat jawatan sebagai Inspektor Jeneral Tentera Darat.
Upacara serah terima tugas pegawai kanan TDM itu disaksikan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi di Padang Kawad Kem Muara Tuang, pada Jumaat.
Turut hadir ialah Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Adnan Hashim, Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Ahmad Norzaini Badrun dan Panglima 31 Bridged Brigedier, Jeneral Kamarulzaman Mohd Yunos.
Terdahulu, seramai 27 pegawai dan 492 anggota lain-lain pangkat menyertai acara perbarisan bagi upacara berkenaan diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Mohd Fuad Nazri.
Sementara itu, Hassan yang menjawat jawatan Panglima 1 Div sejak 5 September 2022 turut mengingatkan warga Tentera Darat Malaysia (TDM) agar tidak terlibat dalam apa jua aktiviti jenayah dan gejala yang tidak bermoral.
“Saya mengingatkan diri saya dan semua agar tidak terlibat dalam aktiviti jenayah dan tidak bermoral seperti penyalahgunaan dadah, khalwat, kes jenayah, buli dan tidak hadir tanpa cuti,
“Sepanjang 2023, saya dapati terdapat peningkatan dalam perkara-perkara ini terutama dalam kes penyalahgunaan dadah yang melibatkan semua peringkat anggota,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, TDM tidak akan berkompromi dalam perkara seperti penyalahgunaan dadah dan pemberhentian secara keji adalah pengakhiran kepada tindakan itu.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #1Divisyen #TDM #Sarawak