Home Semasa Sekat kapal Israel berlabuh di Malaysia tidak jejas hubungan negara luar – Tok mat

Sekat kapal Israel berlabuh di Malaysia tidak jejas hubungan negara luar – Tok mat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 DIS – Tindakan menyekat syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM dari berlabuh di perairan Malaysia tidak akan menjejaskan hubungan Kuala Lumpur dengan negara lain.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, pendirian Malaysia itu tidak bermaksud negara ini tidak menghargai hubungan negara lain.

“Kita tidak melihat kepada terjejasnya hubungan Malaysia dengan negara lain, topik kita tidak membenarkan kapal yang menggunakan bendera Israel,

“Pendirian kita tetap, kita tidak mengatakan tidak menghargai hubungan dengan negara lain, tetapi disebabkan oleh ketetapan pendirian Malaysia berkenaan keadaan di Gaza dan Timur Tengah ketika ini,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Wisma Putra hari ini selepas menghadiri sesi taklimat bersama kepimpinan tertinggi Kementerian Luar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu memaklumkan, kerajaan telah memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan di negara ini.

Jelasnya, sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa di Palestin.

Terdahulu, Mohamad menyempurnakan sesi ‘clock-in’ di Wisma Putra sebagai simbolik memulakan tugas sebagai Menteri Luar Negeri.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat dilantik sebagai Menteri Luar Negeri yang baru menggantikan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang berpindah ke Kementerian Pengajian Tinggi. -airtimes.my

#semasa #Malaysia #Israel #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!