KOTA KINABALU, 22 Dis – Operational Sea Training Exercise East (OSTEX EAST) Siri 3/2023 yang dijalankan bermula 18 hingga 22 Disember menjadi platfom utama dalam meningkatkan kesiagaan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Armada Timur.
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur) memaklumkan, latihan yang dilaksanakan di sekitar Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan perairan Laut China Selatan membabitkan kapal yang bernaung dalam MPA Timur dan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Sandakan.
Menurutnya, siri kali ini juga menjadi siri terakhir OSTEX EAST bagi tahun 2023 seterusnya menutup tirai eksesais di Armada Timur.
“Eksesais ini masih mengekalkan misi utama iaitu melatih dan menyediakan angkatan yang berupaya dalam melaksanakan operasi maritim yang bersifat dwi-ancaman,
“Kita melaksanakan eksesias melalui Field Training Exercise (FTX) dan melibatkan 6 buah kapal TLDM yang diketuai KD Selangor selaku Ketua Gugus Tugas,
“Peranan Helikopter Operasi Maritim AW139, Unmanned Aerial System Scaneagle dan Bot Tempur CB90 turut dioptimumkan dalam siri latihan kali ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
MPA Timur menjelaskan, sebanyak 3 fasa iaitu fasa pelabuhan, fasa laut dan yang terakhir iaitu fasa pasca eksesais terlaksana mengikut perancangan.
“Fasa pelabuhan dilaksanakan bermula 18 dan 19 Disember di mana program-program utama seperti Taklimat Utama Eksesais, Kuliah dan Praktikal daripada Subject Matter Expert (SME) serta Taklimat Pra-Pelayaran telah dilaksanakan,
“Manakala, fasa laut pula menyaksikan kecekapan dan ketangkasan warga The Navy People diuji dalam aspek navigasi, ilmu kelautan dan peperangan maritim,
“Penglibatan kapal TLDM dalam eksesais ini turut menjadi platform memperaga kehadiran TLDM di Zon Maritim Malaysia,” jelas MPA Timur lagi.
Tambahnya, TLDM sentiasa mencari ruang dan peluang yang menyasarkan kepada pengekalan momentum dalam kesiagaan aset dan warga supaya bertindak cekap dan pantas sebilang masa mengikut keperluan operasi.
“Kelangsungan latihan siri ini, yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan kesiagaan aset Armada Timur TLDM kekal di tahap terbaik,” jelas kanyataan itu lagi.-airtimes.my
#airtimes #TLDM #pertahanan #Sabah #eksesais