Home Teknologi Pertahanan Tentera Jerman beli 82 buah helikopter H145M

Tentera Jerman beli 82 buah helikopter H145M

by M.Daim

DONAUWÖRTH, 15 DIS – Angkatan Tentera Persekutuan Jerman (Bundeswehr) telah meterai perolehan 82 buah helikopter H145M dari Airbus Helicopters.

Menurut pihak Airbus Helicopters dalam satu kenyataan, perolehan tersebut turut merangkumi pembelian 62 buah helikopter dengan pilihan perolehan tambahan 20 H145M.

“Kontrak ini merangkumi khidmat sokongan dan penyelenggaraan selama 7 tahun bagi memastikan pengeoperasian optimum helikopter ini,” katanya.

Jelas kenyataan itu, Tentera Darat Jerman (Heer) akan menerima 57 buah H145M manakala 5 akan dioperasikan oleh Tentera Udara Jerman (Luftwaffe).

Difahamkan kelima-lima buah H145M yang diterima oleh Luftwaffe akan dioperasikan oleh pasukan khusus angkatan udara negara Eropah itu.

Sementara itu, Bruno Evans, CEO Airbus Helicopters menyatakan pihaknya berbangga dengan perolehan yang dilaksanakan oleh Bundeswehr.

“H145M merupakan helikopter pelbagai peranan yang lasak dan Luftwaffe telah memiliki pengalamannya tersendiri dari segi pengoperasian H145M LUH Special Operations Forces,

“Kami akan memastikan Bundeswehr akan menerima helikopter mengikut jadual perancangan,” katanya.

Jelas Bruno, Bundeswehr akan menerima helikopter pertamanya pada tahun 2024.

H145M merupakan helikopter pelbagai peranan yang dihasilkan oleh Airbus Helicopters. Ia mampu disesuaikan dengan peranan sebagai helikopter serang ringan dan juga helikopter operasi khas.

Sehingga kini, Bundeswehr telah mengoperasikan 16 buah H145M LUH SOF dan 8 buah lagi untuk misi mencari dan menyelamat.

Selain daripada itu, varian H145M, UH-72 Lakota telah dioperasikan oleh Tentera Amerika Syarikat. Difahamkan, Amerika Syarikat mengoperasikan hampir 500 buah UH-72 Lakota.

Selain Jerman, H145M dioperasikan oleh Hungary, Serbia, Thailand dan Luxembourg.

Pada Jun tahun lalu, Cyprus telah melakukan perolehan 6 buah H145M. – airtimes.my

#AirTimes #MakingMissionsPossible #Airbus #AirbusHelicopters #H145M

Related Articles

Leave a Reply