[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=xgnUWmsc4Rc[/embedyt]
LANGKAWI, 14 DIS – Penembakan 2 biji Missiles Exocet MM40 yang dilancarkan dari kapal friget Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengenai tepat dan memusnahkan sasaran yang berada sejauh 20 kilometer.
Dua peluru berpandu antikapal itu dilancarkan kapal KD LEKIU secara serentak, manakala KD LEKIR sebagai kapal penembak simpanan menerusi Eksesais TAMING SARI siri 22/2023 di perairan Selat Melaka, hari ini.
Latihan penembakan itu turut disaksikan sendiri mantan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohamad Ab Rahman.
Kejayaan penembakan peluru berpandu itu yang mengenai tepat sasaran jelas membuktikan profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga TLDM dalam mengendalikan aset pertahanan negara.
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) memaklumkan, pelaksanaan Eks TAMING Sari 22/2023 dapat mempamerkan keupayaan kuasa tempur TLDM sekaligus membuktikan bahawa ia masih lagi bertaring di arena pertahanan maritim, kredibel dan mampu mempertahankan kedaulatan perairan negara.
Jelasnya, berlandaskan lanskap geo-strategik yang semakin mencabar ketika ini, TLDM memainkan peranan yang sangat penting untuk kekal relevan dalam konteks pertahanan maritim.
Eksesais Taming Sari adalah siri latihan penembakan misil oleh aset kombatan TLDM bagi menguji keupayaan dan kesiapsiagaan sistem peluru berpandu di kapal serta tahap kompetensi warga The Navy People.
KD LEKIU merupakan kapal kelas Frigat (FFGH30) yang ditauliahkan pada 7 Oktober 1999 dan diketuai oleh Pegawai Memerintah, Kepten Mahamad Nazir Darus TLDM.
Manakala KD LEKIR pula merupakan kapal kelas Korvet (FSG26) yang ditauliahkan pada 18 Jun 1984 diketuai oleh Pegawai Memerintah, Komander Mhd Izmi Faizal Mhd Khani TLDM.
“Dengan berkonsepkan Force Integration Training (FIT), aspek kebersamaan atau jointness telah dizahirkan di dalam eksesais ini melalui penglibatan sebanyak 14 buah kapal permukaan, 8 bot dan 12 pesawat dari TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),
“Eks ini turut menguji keupayaan semua aset yang terlibat di samping memperagakan kehadiran angkatan pertahanan maritim negara di perairan Selat Melaka,” jelas MPA Barat dalam kenyataan.
Missile Exocet MM40 buatan Perancis berada dalam inventori TLDM sejak 1996 merupakan sistem peluru berpandu antipermukaan yang telah teruji dalam banyak siri latihan sebelum ini.
Peluru berandu Exocet mempunyai reputasi tinggi selepas mempamerkan keberkesanan semasa Perang Falkland pada tahun 1982 apabila berjaya menenggelamkan 2 buah kapal tentera laut British.
TLDM antara pengguna terbesar peluru berpandu Exocet bermula dengan versi MM38 sebelum digantikan dengan MM40 Block II.
Walau bagaimanapun, keusangan dan kemajuan teknologi yang berkembang pesat perlu disemak secara konsisten bagi memastikan kekuatan armada TLDM kekal relevan dalam mempertahankan kedaulatan perairan Malaysia.-airtimes.my
#TLDM #TamingSari #airtimes #pertahanan
Galeri gambar: