Home Semasa Rombakan kabinet isyarat jelas Kerajaan Perpaduan ingin maju ke hadapan

Rombakan kabinet isyarat jelas Kerajaan Perpaduan ingin maju ke hadapan

by Bernama

KUCHING, 13 DIS – Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memberikan isyarat jelas bahawa Kerajaan Perpaduan sentiasa memenuhi keperluan semasa dan masa depan negara untuk Malaysia terus maju.

Penganalisis sosiopolitik di Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Prof Madya Awang Azman Awang Pawi melihat pewujudan kementerian baharu dalam rombakan yang pertama dibuat Anwar sejak menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 akan menjadi perhatian.

“(Rombakan ini) menambahkan kecekapan pentadbiran negara (dengan) tujuan memberi fokus yang lebih khusus agar prestasi (Kabinet) itu dapat dipertingkatkan lagi dengan lebih baik,” katanya kepada Bernama.

Awang Azman berkata tujuan Perdana Menteri untuk meningkatkan kecekapan pentadbirannya itu dapat dilihat menerusi keputusan beliau memecahkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim kepada dua kementerian baharu.

Pecahan itu ialah Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam yang diterajui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dipimpin menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Awang Azman berkata kemasukan muka baharu yang berpengalaman dalam Kabinet juga bakal membawa input segar yang boleh meningkatkan kecekapan pentadbiran negara dan keyakinan pelabur untuk menanam modal.

“Kepakaran mereka ini memang sesuatu yang memberikan impak dan mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap rombakan Kabinet ini,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Jabatan Sosial dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM) Bintulu Dr Abdul Hadi Samsi berkata Anwar telah membuat kejutan dengan menamakan semula individu yang pernah menjadi menteri penuh dalam Kabinet kerajaan lepas.

“Bagaimanapun, ini bukanlah isu besar. Sekiranya mereka (bekas menteri) menerima jawatan (sebagai timbalan menteri) itu, maka secara langsung mereka sedia menerima tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.

Abdul Hadi berkata walaupun masih terlalu awal untuk melihat keberkesanan kementerian baharu, penubuhannya boleh membawa impak positif sekiranya fungsifungsinya dapat dijelaskan dengan baik kepada rakyat.

“Sekiranya tidak (dijelaskan), sudah semestinya akan memberikan impak negatif kepada kerajaan termasuk pembaziran,” katanya. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!