KUALA LUMPUR, 7 DIS – Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI-AD) terus mengungguli dalam kecekapan menembak antara tentera serantau apabila menjadi juara 14 kali.
Indonesia muncul juara pada Pertandingan Menembak Tentera Darat ASEAN (AARM) ke-31 di Bangkok, Thailand yang berakhir bulan lalu.
Menerusi pencapaian pada pertandingan itu, TNI-AD memenangi 4 piala, 10 pingat emas, 9 perak dan 10 gangsa.
Pingat emas diperoleh masing-masing dalam acara individu (tiga), berpasukan (empat) dan pertunjukan berpasukan (tiga).
Kemenangan Indonesia ini turut menaikkan prestij syarikat persenjataan negara itu, PT Pindad selain mempamerkan kualiti senjata tersebut pada pertandingan antarabangsa.
Dengan keputusan ini, Indonesia mengesahkan kedudukannya sebagai juara keseluruhan serta menewaskan Vietnam sebagai juara bertahan dalam pertandingan tahun lalu.
Kemenangan Indonesia pada AARM ke-31 juga mencipta sejarah baharu apabila buat pertama kali menjadi juara di Thailand.
Sebelum ini, Indonesia tidak pernah memenangi gelaran juara pada empat acara AARM ketika Thailand menjadi tuan rumah iaitu pada 1993, 2001, 2007 dan 2015.
Secara keseluruhannya, Indonesia telah membuktikan dirinya sebagai jaguh dalam kalangan negara ASEAN dengan menjadi juara keseluruhan sebanyak 14 kali sejak AARM diadakan pada 1991.
Pesaing terdekatnya, Vietnam berada di tempat kedua dengan memenangi 1 trofi, 10 emas, 7 perak dan 7 gangsa manakala Filipina tempat ketiga.
Kedudukan seterusnya ialah Myanmar, Laos, tuan rumah Thailand, Brunei, Kemboja, Malaysia dan Singapura.
AARM ialah acara pertandingan menembak Tentera Darat antara negara ASEAN yang diadakan setiap tahun.
Pada edisi kali ini ia disertai kira-kira 200 peserta yang merupakan penembak-penembak terbaik dalam pasukan tentera darat masing-masing termasuk Malaysia.
Antara acara yang dipertandingkan ialah menembak raifal, karbin, mesingan dan pistol melibatkan kategori lelaki dan wanita. – airtimes.my
#AirTimes #Indonesia #TNIAD