KUALA TERENGGANU, 22 NOV – Keadaan banjir di Terengganu menyaksikan jumlah mangsa terus meningkat sehingga mencecah 4,787 mangsa di 32 pusat pemindahan sementara (PPS) di 6 daerah Terengganu, setakat jam 8 pagi tadi.
Mangsa terdiri daripada 1,260 keluarga dipindahkan sejak kelmarin.
Dungun menjadi daerah terbaharu terjejas apabila satu PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Kah dibuka malam tadi bagi menempatkan 23 mangsa daripada 5 keluarga.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu menunjukkan, seramai 1,695 mangsa daripada 445 keluarga dipindahkan ke 14 PPS di daerah Kuala Nerus hari ini berbanding 1,426 orang daripada 370 keluarga di 12 PPS malam tadi.
Seramai 1,137 mangsa daripada 332 keluarga masih berlindung di 5 PPS di daerah Kuala Terengganu, manakala jumlah mangsa di Marang meningkat kepada 1,251 orang daripada 316 keluarga di 7 PPS.
Di Besut pula, 673 mangsa ditempatkan di 4 PPS, sementara Setiu kekal dengan 8 mangsa daripada 3 keluarga di sebuah PPS.
Sementara itu, di Kelantan, mangsa banjir meningkat kepada 376 orang daripada 96 keluarga yang ditempatkan di 7 PPS di daerah Pasir Puteh, Bachok dan Machang setakat 8 pagi tadi.
Menerusi laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan, seramai 302 mangsa daripada 79 keluarga berlindung di 4 buah PPS di Pasir Puteh.
Manakala, seramai 69 mangsa dari 17 keluarga ditempatkan di 2 PPS di Bachok serta 5 mangsa dari sebuah keluarga pula di tempatkan di sebuah PPS di Machang. -airtimes.my
#semasa #airtimes #banjir #Kelantan #Terengganu