Home Semasa Malaysia kini dijangkiti virus perpecahan – Titah Sultan Johor

Malaysia kini dijangkiti virus perpecahan – Titah Sultan Johor

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 22 NOV 23 – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah pelantikan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 bukanlah satu kenaikan pangkat tetapi tambahan tanggungjawab yang memerlukan pengorbanan masa dan tenaga sebagai Ketua Negara.

Sultan Ibrahim bertitah, keutamaan Baginda sebagai Ketua Negara akan datang adalah menjaga kepentingan 33 juta rakyat Malaysia dan bukan hanya 222 wakil rakyat.

“Saya merasakan negara pada hari ini telah dijangkiti satu virus yang pernah saya sebutkan dahulu…iaitu virus perpecahan,

“Virus ini berpunca daripada pemimpin politik yang sanggup berbalah, caci-mencaci, menabur fitnah dan memecah perpaduan rakyat demi mengejar kuasa dan kedudukan demi kepentingan diri sendiri,” titah Baginda.

Sultan Johor bertitah demikian dalam Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-65 di Dewan Singgahsana Istana Besar Johor Bahru, hari ini.

Justeru, baginda menyeru semua pemimpin agar bertolak ansur dan hormat menghormati antara satu sama lain untuk meningkatkan kemakmuran serta kesejahteraan hidup rakyat.

Majlis Raja-Raja dalam mesyuaratnya yang ke-263 (Khas) pada 27 Oktober lepas, telah memilih Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh 5 tahun, berkuat kuasa 31 Jan 2024.

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Jan tahun depan.

Sehubungan itu, sepanjang tempoh memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong, Baginda melepaskan tampuk pemerintahan negeri kepada Tunku Mahkota Johor yang dilantik sebagai Pemangku Sultan.

“Justeru, Baginda amanahkan kepada kerajaan Negeri untuk memberi tunjuk ajar kepada Tunku Mahkota Johor,

“Pemangku Sultan akan memikul tanggungjawab untuk menjaga negeri dan rakyat Johor, serta menjalankan segala hak dan kuasa pemerintahan negeri kecuali sebagai Ketua Agama Islam,” titah Baginda lagi.-airtimes.my

#semasa #airtimes #Johor #DaulatTuanku

Related Articles

Leave a Reply