PERAK, 8 NOV – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara bagi mencegah sebarang ancaman ekoran kelantangan Malaysia berhubung konflik antara Palestin-Israel.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihak polis juga akan memperkasakan lagi risikan bagi melindungi semua pihak yang berkemungkinan menjadi sasaran.
“Kita sentiasa memantapkan dan memperkemaskan lagi pemantauan kita sama ada dari segi pintu-pintu masuk, dari segi risikan yang kita perolehi daripada Cawangan Khas, dari segi kita memperkasakan lagi kawalan-kawalan kita terhadap sasaran-sasaran penting,
“Ini termasuk juga penglibatan negara-negara asing yang ada di sini yang mungkin dijadikan sasaran oleh pihak-pihak yang tertentulah… yang tidak berpuas hati dengan tindakan-tindakan yang berlaku di Palestin dan sebagainya,
“Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Setakat ini rekod oleh PDRM akan dapat mengesan lebih awal dapat kita lakukan terhadap tindakan-tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Ke-54 69 Komando Pasukan Gerakan Khas di Padang Kawad Sultan Nazrin Shah, hari ini.
Beliau turut berkata, polis memberi jaminan bahawa isu keselamatan akan terus diberi perhatian, dan tindakan susulan akan dibuat sekiranya terdapat sebarang cubaan daripada mana-mana pihak untuk melanggar undang-undang negara.
Menurutnya, setakat ini, rekod membuktikan PDRM berjaya mengesan dan menangani sebanyak 26 ancaman keselamatan sejak 2013 hingga 2020.
Sementara itu, Ayob berkata, pihak polis juga telah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kes seorang lelaki yang disyaki membuat hantaran berbaur ugutan jenayah terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan beliau mengingatkan orang ramai supaya menggunakan medium media sosial hanya untuk perkara yang menjurus ke arah kebaikan.
“Ada perkara yang boleh dikongsi secara terbuka, ada tempat kita boleh luahkan perasaan kita, namun kepada sesiapa yang menyebarkan perkara tidak berfaedah anda boleh ditangkap dan dituduh (mahkamah),” ujarnya lagi.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki berusia 28 tahun telah direman selama 3 hari selepas disyaki membuat hantaran berbaur ugutan jenayah terhadap Fadhlina. -airtimes.my
#keselamatan #Malaysia #Palestin #airtimes