[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=f8PPQDtg1ys[/embedyt]
SUBANG, 7 NOV – Penghantaran dan penugasan pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di Lubnan untuk misi pengaman diteruskan walaupun berdepan situasi mencabar ekoran konflik Israel-Gaza sejak awal Oktober lalu.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, konflik ini dilihat semakin tegang di antara kedua-dua pihak yang mengakibatkan ribuan nyawa terkorban dan kemusnahan harta benda.
“Sudah pasti konflik ini akan memberi kesan kepada situasi keselamatan di selatan Lubnan dan menjejaskan pengoperasian Kontinjen MALBATT 850-10 serta MALBATT 850-11 sekiranya ia berpanjangan,
“Dalam situasi sedemikian, saya panjatkan kesyukuran kepada Allah Subhana Wataala kerana sehingga hari ini, Kontinjen MALBATT masih berada dalam keadaan baik dan selamat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghantaran Kumpulan Kedua MALBATT 850-11 ke Lubnan di Pangkalan Udara Subang, pada Selasa.
Beliau berkata, penghantaran kumpulan kedua itu amat penting dalam usaha merealisasikan komitmen ATM selaku misi pasukan pengaman di bawah panji-panji PBB, khususnya di Lubnan.
“Penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Kontinjen MALBATT di Lubnan ini jelas berjaya mendapat pengiktirafan dan kepercayaan antarabangsa,
“Peranan dan penglibatan ini membuktikan Malaysia sangat komited dalam melaksana misi bantuan kemanusiaan kepada negara yang memerlukan, demi memastikan keamanan dan keselamatan sejagat dipertahankan,” ujarnya lagi.
Menurutnya, MALBATT 850-11 telah menjalani latihan khusus selama 3 bulan yang merangkumi sebulan latihan perkhidmatan tunggal dan 2 bulan latihan integrasi atau Force Integration Training (FIT) di bawah kawal selia Markas Angkatan Bersama (MK AB) bertempat di MALBATT Village, Port Dickson, Negeri Sembilan.
“MALBATT 850-11 telah bersedia untuk diaturgerakkan ke Lubnan bagi menggantikan MALBATT 850-10 yang akan menamatkan misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) setelah berkhidmat 12 bulan,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan kedua MALBATT 850-11 ini terdiri daripada 16 pegawai dan 193 anggota ATM, serta 7 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang diketuai Timbalan Komander MALBATT 850-11, Leftenan Kolonel Zainol Abdul Samad.
“Saya harap tuan-tuan dan puan-puan sentiasa berwaspada dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,
“Tuan-tuan dan puan-puan juga perlu sentiasa mengekalkan sifat berkecuali, mengutamakan keselamatan serta mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak UNIFIL. Saya percaya pasukan MALBATT dapat memikul tanggungjawab dan amanah ini dengan sebaik mungkin,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, kumpulan pertama MALBATT 850-11 yang diketuai Komander MALBATT 850-11, Kolonel Burhan Sagoni bersama 218 anggota dan pegawai telah berlepas ke Lubnan pada 2 November lalu. -airtimes.my
#ATM #MALBATT #Lubnan #palestin #Malaysia #airtimes