Home Diskusi Kolumnis: Perang Gaza – Kehebatan tentera Israel masih belum teruji

Kolumnis: Perang Gaza – Kehebatan tentera Israel masih belum teruji

by Zaki Salleh

Serangan darat tentera Israel (IDF) ke atas Gaza masih belum menampakkan tanda-tanda kejayaan yang besar walaupun bala tenteranya didakwa telah menguasai utara wilayah tersebut.

Masih menggunakan taktik sama, cara berperang IDF ialah dengan melancarkan serangan udara semaksima untuk meranapkan kedudukan lawan diikuti tembakan artileri bertalu-talu ke arah kawasan sama.

Kemaraan dalam serangan darat pula tetap bergantung kepada sokongan puluhan kereta kebal serta ratusan kenderaan perisai demi meminimumkan risiko kecederaan kepada tenteranya.

Memainkan peranan penting ialah pasukan jurutera menggunakan jentolak bagi memudahkan laluan kenderaan perisai dan infantri.

IDF sangat bergantung kepada sokongan serangan udara dan artileri, iaitu taktik sama yang digunakan tentera Amerika Syarikat (AS) semasa di Afghanistan dan Iraq.

Penggunaan jet pejuang merupakan antara taktik yang digunakan oleh IDF dalam operasi di Gaza.

Kuasa udara dianggap dominan dalam taktik pertempuran IDF.

Dengan kedudukan sebagai pasukan tentera terkuat di rantau Teluk serta ke-11 di dunia, Perang Gaza bagaimana pun belum menampakkan kehebatan sebenar Israel dalam peperangan.

Justeru, agak sukar untuk melihat visual atau gambar yang dikongsikan IDF dalam operasi serangan darat di Gaza melainkan apa yang disampaikan oleh jurucakap tentera dan media.

Perkara tersebut sebenarnya mudah untuk difahami kerana situasi peperangan bandar yang dihadapi oleh IDF untuk memerangi pejuang Hamas bukan mudah.

Sepertimana tentera Jerman berhadapan dengan tentera Rusia dalam pertempuran Stalingrad semasa Perang Dunia Kedua dahulu, begitulah juga gambaran dalam Perang Gaza.

Runtuhan bangunan boleh menjadi halangan yang paling sukar untuk ditembusi atau dimusnahkan jika pasukan lawan bersedia lebih awal.

Realitinya, Perang Gaza bakal mempamerkan adakah IDF benar-benar hebat sebagaimana yang digembar-gemburkan selama ini.

Di atas kertas IDF nampak menggerunkan disebalik kehebatan dengan pelbagai kelengkapan serta memiliki teknologi ketenteraan terkini.

Jika mengukur pengalaman IDF, kali terakhir mereka bertempur hebat dengan lawan ialah pada tahun 2006 semasa konflik di Lubnan dengan pejuang Hizbullah iaitu 14 tahun lalu.

IDF yang membalas serangan pejuang Hizbullah kerana mengorbankan tenteranya bertindak melancarkan serangan darat termasuk untuk memusnahkan kedudukan roket lawan.

Malangnya, operasi IDF berakhir dengan tentera yang keletihan berundur dalam keadaan kucar-kacir serta menggunakan serangan udara secara maksimum.

Walaupun pertempuran menyebabkan kerosakan teruk kediaman dan struktur awam, operasi ketenteraan IDF gagal mencapai objektif.

Apabila IDF gagal mengasak lawan serta tidak bersedia untuk bertempur dalam tempoh yang panjang ia memberi gambaran imej sebaliknya terhadap kemampuan mereka.

Berbanding tentera AS atau Rusia, kekuatan IDF tidak pernah diuji dalam bentuk peperangan sebenar melainkan pertempuran-pertempuran atau konflik bersenjata yang berlaku dalam lingkup serupa iaitu sama ada Hamas atau Hizbullah.

AS misalnya menguji kemampuan tentera dalam setiap konflik yang disertai, begitu juga Rusia.

Sebaliknya, IDF tidak pernah berdepan dengan lawan yang benar-benar setanding baik daripada segi kekuatan, persenjataan dan teknologi dimiliki.

IDF yang ada pada hari ini dibangunkan berdasarkan pengalaman Israel berhadapan dengan empat siri Perang Arab – Israel terdahulu.

Berdasarkan itu, Israel dengan dibantu negara-negara sekutu melengkapkan IDF agar bersedia untuk berhadapan dengan peperangan jika berlaku pada masa hadapan.

Bagi matlamat cegah rintang pula, IDF perlu moden seiring dengan kemajuan teknologi pertahanan semasa agar menimbulkan rasa gerun kepada lawan dan jiran serantau.

Perang Lubnan 2006 merupakan antara pengalaman pahit yang terpaksa ditelan oleh IDF>

Walaupun IDF tidak pernah terlibat dalam pertempuran bersenjata yang panjang, namun daripada aspek lain mereka masih mempunyai kemahiran kerana terlibat dalam banyak operasi pertempuran bandar di Gaza.

Sekurang-kurangnya berlaku empat operasi ketenteraan IDF di Gaza sejak 2007 terutamanya untuk memusnahkan fasiliti pembuatan roket Hamas dan rangkaian terowong penyusupan.

Cumanya, situasi semasa yang dihadapi ketika ini jauh berbeza dengan pengalaman dahulu.

Melancarkan perang dengan mengebom tempat-tempat awam juga merupakan tindakan bacul walaupun kononnya atas nama operasi ketenteraan.

Dengan pejuang Hamas menguasai dan mahir dengan selok belok di Gaza, IDF terpaksa menghadapi lawan yang lebih bersedia. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Diskusi

Related Articles

Leave a Reply