Home Pertahanan dan Keselamatan Pasukan MALBATT 850-11 ke Lubnan bukan terlibat konflik Israel-Palestin

Pasukan MALBATT 850-11 ke Lubnan bukan terlibat konflik Israel-Palestin

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=oojYrOJw0EQ[/embedyt]

 

SUBANG, 2 Nov – Penghantaran pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 ke Lubnan, adalah bagi melaksanakan misi pengaman di negara berkenaan dan bukannya untuk terbabit dalam konflik antara Palestin serta Israel.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penghantaran pasukan tersebut adalah bagi menggantikan penugasan pasukan MALBATT 850-10, yang sudah berada di Lubnan sejak setahun yang lalu.

Jelasnya, MALBATT 850-11 merupakan sebahagian daripada misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL), dan akan ditempatkan di 2 penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin.

“Ketika ini kerajaan (Malaysia) masih lagi mengekalkan keputusan supaya pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam UNIFIL di Lubnan mesti dikekalkan selagi belum ada perubahan (dalam keputusan PBB),

“Jangan pula ada yang anggap dan kata tujuan penghantaran MALBATT 850-11 ini adalah untuk terbabit sama dalam situasi konflik antara Palestin dan Israel. Itu tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia, dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-11 ke Lubnan, di Pangkalan Udara Subang, pada Khamis.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penghantaran pasukan tersebut adalah bagi menggantikan penugasan pasukan MALBATT 850-10, yang sudah berada di Lubnan sejak setahun yang lalu. Foto: AirTimes/Muaz

Mohamad berkata, MALBATT 850-11 menampilkan seramai 854 anggota terdiri dari 82 pegawai dan 772 anggota, termasuk 3 pegawai serta 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), dan seorang pegawai awam kewangan dari Kementerian Pertahanan.

Dalam pada itu Mohamad meminta pasukan negara supaya berhati-hati memandangkan kawasan tanggungjawab mereka hanya 20 kilometer dari sempadan pergolakan antara Israel dan Palestin.

“Sekiranya konflik Israel-Palestin ini berpanjangan, apa jua kemungkinan boleh berlaku. Sebagai tentera, mereka kena bersiap sedia dengan apa saja kemungkinan yang akan berlaku, untuk kita hadapi apa-apa saja,

“Nasihat saya supaya kita punya anggota kena berhati-hati, walaupun sempadan (kawasan pergolakan) jauh sikit, tidaklah jauh sangat hanya 20 kilometer saja bezanya… tetapi apa saja boleh berlaku. Dan kita tetap di bawah PBB. Apa jua arahan, apa jua tindakan, dan apa jua keputusan PBB itu yang akan kita ikut,

“Pasukan pengaman kita tidak akan buat sebarang tindakan tanpa keputusan atau kebenaran PBB,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau berkata pembabitan ATM di peringkat antarabangsa membuktikan bahawa Malaysia komited dalam melaksanakan tanggungjawab tugas pengaman dan memberi bantuan kemanusiaan demi memastikan aspirasi keamanan sejagat dapat direalisasikan.

Penghantaran kumpulan pertama ini melibatkan seramai 218 orang serta diketuai oleh Komander MALBATT 850-11, Kolonel Burhan Sagoni bersama 49 Pegawai dan 169 anggota.

MALBATT 850-11 akan meneruskan misi UNIFIL di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat UNIFIL yang akan ditempatkan di 2 penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin.

Pasukan ini akan melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan.-airtimes.my

#MALBATT #pertahanan #Lubnan #airtimes

Related Articles

Leave a Reply