Home Semasa Fitnah isteri PM: Siasatan polis profesional, berlandaskan undang-undang

Fitnah isteri PM: Siasatan polis profesional, berlandaskan undang-undang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 NOV – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan, siasatan terhadap kes hantaran didakwa berunsur fitnah ke atas isteri Perdana Menteri dilakukan secara profesional berlandaskan prosedur ditetapkan undang-undang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tiada sebarang penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan ketika menyiasat kes berkenaan.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan masih di peringkat kajian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shuhaily berkata pihaknya turut menyangkal dakwaan pihak tertentu berhubung isu kegagalan menjawab soalan pegawai penyiasat semasa rakaman percakapan diambil mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

“Keengganan memberi kerjasama dilihat daripada konteks kegagalan memberi maklumat berhubung capaian kepada data berkomputer sebagaimana peruntukan Seksyen 116B Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,

“Melalui peruntukan ini, pegawai polis yang menjalankan penggeledahan hendaklah diberi capaian kepada data komputer termasuk kata capaian, kod penyulitan, kod penyahsulitan, perisian atau perkakasan yang perlu dan cara lain yang dikehendaki untuk membolehkan pemahaman data berkomputer,” ujarnya lagi.

Pada 22 Okt lepas, PKR Bandar Tun Razak membuat laporan polis terhadap 3 pengguna media sosial yang didakwa memuat naik hantaran berbaur fitnah terhadap Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Susulan itu, penyedia kandungan media sosial Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai ‘Ratu Naga’ memberi keterangan kepada polis Khamis lepas berhubung hantaran berkenaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, Ratu Naga tidak menjawab 33 soalan yang ditanya dan polis merampas sebuah telefon bimbit dan kad sim. -airtimes.my

#semasa #PDRM #DSAI #RatuNaga #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!