[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=tsdwqyLif_c[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 28 OKT – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan mendesak agar usul mengenai Palestin dibahaskan di Dewan Rakyat Isnin ini.
Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pihaknya juga mahu Dewan Rakyat meluluskan satu pandangan yang tegas bahawa tindakan kejam Israel tidak disokong.
“Kami Ahli Parlimen PN berharap supaya satu usul akan diterima di Parlimen untuk isu Palestin ini dibahaskan di Dewan Rakyat,
“Kita nak Dewan Rakyat meluluskan satu pandangan yang mewakili seluruh rakyat Malaysia (sebagai) badan legislatif tertinggi negara untuk menyatakan suatu mesej yang berkesan bahawa tidak menyokong tindakan Israel,
“Dewan Rakyat perlu bertegas. Israel perlu dikutuk dalam Parlimen dan usul diluluskan dengan sebulat suara”, katanya selepas acara Himpunan 10k Solidariti Palestin di Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, hari ini.
Antara pemimpin politik yang menyertai himpunan ini adalah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, selain Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali.
Peserta yang hadir bermula jam 1.30 petang itu, rata-rata memegang bendera Palestin dan sepanduk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim zionis Israel.
Ahli Parlimen Alor Setar turut berkata, lebih 50,000 peserta telah menyertai perhimpunan itu.
“Himpunan kali kedua ini dibuat setelah rejim zionis semakin ganas dengan mengebom hospital dan membunuh orang tidak bersalah… dan kita berikan mesej ini kepada mereka supaya mereka dapat fahami bahasa kita,
“Kita mahu Palestin itu dibebaskan dan diberikan hak. Israel perlu keluar dari Palestin secara terhormat, kalau tidak kita tak tahu apa akan berlaku,
“Umat Islam diseluruh dunia akan terus mempertahankan Palestin pada bila-bila masa sahaja,” ujarnya lagi.
Tambahnya, satu memo yang menyatakan pendirian Ahli Parlimen PN mengutuk Israel dan mempertahankan hak rakyat Palestin, akan diserahkan kepada pegawai kedutaan Amerika Syarikat pada Isnin. -airtimes.my
#Israel #Malaysia #PN #airtimes #semasa