PORT DICKSON, 26 OKT – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, kerajaan hanya dapat menyelesaikan isu penyelarasan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebaik saja memperoleh keputusan dari pihak mahkamah.
Menurut Mohamad, bagaimanapun pihaknya telah menghantar kertas cadangan mengenai perkara berkenaan bagi perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dipertimbangkan.
“Tetapi disebabkan adanya anggota tentera yang membawa kes (isu penyelarasan pencen) ini di mahkamah, maka saya tak boleh nak kata setakat mana (ia dibincangkan), apa rancangan dan apa yang kita buat sehinggalah keputusan mahkamah nanti dibuat,
“Kita akan membuat apa jua rancangan dan keputusan berasaskan kepada keputusan mahkamah,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Persatuan Veteran ATM (PVATM) yang mahu menghantar memorandum memohon pelarasan pencen veteran ATM kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam tempoh terdekat.
Jelas Mohamad, isu penyelarasan pencen tentera tersebut membabitkan individu yang menamatkan perkhidmatan dalam ATM pada tahun 2013 dan tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, beliau yakin kerajaan akan meneliti dan menilai semula perkara berkenaan dengan baik.
“Tapi seperti mana yang saya kata tadi, saya tak boleh nak cakap apa, nanti subjudis kepada proses mahkamah,” katanya lagi.
Sebelum ini juga media melaporkan, JPA akan menyemak semula perbezaan amaun pencen antara veteran ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 dan yang bersara mulai 1 Januari 2013.
Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang memaklumkan, pegawai awam bersara sebelum 2013, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun Disember 2012 dan pegawai awam yang bersara mulai 2013 pula, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara.
Terdahulu, seramai 536 orang terdiri daripada veteran ATM, balu serta wakil waris di sekitar Negeri Sembilan serta Melaka telah menerima penerima PJM pada majlis tersebut.
Penganugerahan PJM tersebut telah dikoordinasikan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM bermula 3 Mac 2004 dan pingat ia merupakan pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan mereka semasa berhadapan dengan ancaman pengganas komunis suatu ketika dahulu. -airtimes.my
#pertahanan #airtimes #pencen #veteranATM