Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Eks KEKAR MALINDO: Tentera Darat Malaysia, Indonesia mulakan latihan peperangan bersama

Eks KEKAR MALINDO: Tentera Darat Malaysia, Indonesia mulakan latihan peperangan bersama

by Nurulhuda

TAWAU, 23 OKT – Kerjasama angkatan tentera serumpun Malaysia dan Indonesia diperkukuhkan menerusi latihan bersama yang diadakan bermula hari ini.

Eksesais Keris Kartika Malaysia – Indonesia (KEKAR MALINDO) di antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI-AD) ini dilaksanakan selama 11 hari di sekitar kawasan Tawau dan Kalabakan, Sabah.

Panglima Briged Ke-13 Infantri Malaysia (13 Bgd), Brigedier Jeneral Hashim Osman berkata, latihan Gabungan Bersama ini bertujuan meningkatkan keupayaan kedua-dua negara dalam konteks peperangan konvensional dalam Fasa Ofensif.

Jelasnya, eksesais ini juga adalah untuk memperkukuhkan persefahaman, hubungan baik dan kerjasama antara TDM dengan TNI-AD.

“Latihan bilateral sebegini pastinya akan dapat meningkatkan tahap kompetensi pegawai dan anggota dari segi taktik, teknik dan prosedur dalam aspek taktikal,

“Bagi merealisasikan keupayaan tempur, pasukan bantuan formasi 5 Divisyen seperti Armor, Jurutera dan Artileri Medan serta elemen bantuan khidmat 13 Briged turut terlibat dalam eksesais kali ini,” katanya ketika berucap semasa perasmian Eksesais KEKAR MALINDO siri 46 AB/2023, di Padang Kawad Batalion Ke-126 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Kukusan, pada Isnin.

Dalam masa yang sama, Hashim turut menegaskan, konsep ‘Learn and Relearn’ harus sentiasa diadaptasi dan diaplikasi dalam setiap latihan yang dilaksanakan.

Tambahnya, eksesais bilateral secara gabungan seperti ini adalah medium terbaik dalam mengenal pasti kelemahan atur gerak dan meningkatkan kesefahaman taktikal kedua-dua negara.

“Semua yang terlibat diingatkan supaya mengutamakan disiplin, keselamatan dan mematuhi arahan yang telah dikeluarkan,

“Saya berharap pegawai dan anggota yang terlibat dapat melaksanakan eksesais ini dengan penuh komitmen serta bersungguh-sungguh,” katanya lagi. -airtimes.my

#pertahanan #airtimes #TDM #TNI #Tawau

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!