PUTRAJAYA, 22 OKT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mula mengadakan lawatan kerja beliau ke Turkiye dan Mesir.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata, lawatan Perdana Menteri di kedua-dua negara itu menyentuh isu Palestin.
Menurutnya, Anwar Ibrahim telah mengadakan lawatan selama 2 hari ke Turkiye yang akan berakhir hari ini.
“Semasa di Turkiye, Perdana Menteri mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan,
“Agenda utama pertemuan ini adalah adalah membincangkan usaha bersama antara Malaysia
dan Türkiye bagi menyumbang ke arah penyelesaian krisis Palestin-Israel yang semakin meruncing,” kata kenyataan itu.
Pada masa yang sama, Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi.
Lawatan tersebut merupakan lawatan pertama Anwar Ibrahim ke Mesir semenjak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.
“Pertemuan dengan Presiden Mesir akan membincangkan perkara berkaitan konflik Palestin-Israel,
“Ini terutamanya dalam usaha menghentikan segera pertempuran dan pembukaan koridor kemanusiaan untuk penyaluran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza melalui pintu sempadan Rafah-Gaza,” katanya.
Lawatan Perdana Menteri ke Mesir yang bermula hari ini akan melibatkan kunjungan ke atas Sahibus Samahah Prof. Dr. Sheikh Ahmed Mohamed Ahmed El-Tayeb, Imam Besar Al-Azhar.
“Kedua-dua lawatan kerja tersebut mencerminkan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi mengenai isu Palestin,
“Ini khususnya bagi meringankan penderitaan dan kesengsaraan dialami rakyat Palestin akibat krisis di Semenanjung Gaza yang masih berterusan,” kata Wisma Putra.
Lawatan Perdana Menteri ke Turkiye dan Mesir turut diiringi oleh Menteri Luar, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir.
#AirTimes #Malaysia #Semasa #Palestin #Gaza #Mesir