MANILA, 21 OKT – Kerajaan Filipina telah mengumumkan perolehan 3 buah pesawat pengangkut C-130J-30 Super Hercules baharu dari Amerika Syarikat.
Pengumuman dibuat oleh Jabatan Pertahanan Nasional Filipina (DND) yang menyatakan “ia merupakan satu keperluan penting untuk tentera udara negara kepulauan itu”.
“Pelan perolehan telah bermula pada tahun 2021 sebagai sebahagian daripada fasa kedua modenisasi Angkatan Tentera Filipina,
“Kontrak perolehan ini dianugerahkan kepada syarikat Lockheed Martin dari Amerika Syarikat,” kata jurucakap DND, Arsenio Andolong dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh media Filipina.
Menurutnya, negara itu akan menerima pesawat C-130J pertama pada tahun 2026 dan yang terakhir pada Januari 2027.
“Muatan kargo yang lebih besar pada C-130J dan digandingkan dengan C-130 sedia ada mampu mempertingkatkan keupayaan Tentera Udara Filipina (PAF),” katanya.
Sementara itu, Lockheed Martin dalam satu kenyataan berkata, perolehan tersebut membuktikan kemampuan siri pesawat pengangkut C-130 dalam khidmat PAF.
“Misi taktikal memerlukan pesawat yang telah pun terbukti keupayaannya dari segi keputusan serta kemampuan dalam persekitaran yang mencabar,
“C-130J mempunyai ciri-ciri sebegini dan mampu memberikan sumbangan yang besar kepada PAF,” kata kenyataan itu.
Jelasnya, C-130J Super Hercules kini dioperasikan di 21 buah negara.
Lockheed Martin menyatakan Filipina merupakan antara negara pengguna yang telah menggunakan siri pesawat pengangkut C-130. Negara itu kali pertama mengoperasikan C-130H pada era 1970-an.
Jelasnya, pengoperasian C-130J bukan sahaja memberikan lebih banyak ruang muatan kargo tetapi turut memberikan jarak penerbangan yang lebih jauh.
Pada ketika ini di rantau Asia Tenggara, C-130J-30 dioperasikan oleh Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU). Sehingga Ogos lalu, Jakarta telah menerima 3 daripada 5 buah pesawat yang dibeli dari Lockheed Martin. – airtimes.my
#AirTimes #Filipina #LockheedMartin #Indonesia #Hercules #SuperHercules