Home Pertahanan dan Keselamatan 3 bulan harungi cabaran, hanya 27 layak dianugerah Beret Biru Pasukan Khas TUDM

3 bulan harungi cabaran, hanya 27 layak dianugerah Beret Biru Pasukan Khas TUDM

by M.Daim

ROMPIN, 21 OKT – Dari 43 pelatih, hanya seorang pegawai dan 26 orang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah berjaya mengharungi cabaran kursus komando selama 3 bulan.

TUDM dalam satu kenyataan berkata, mereka merupakan 27 orang penuntut Kursus Komando TUDM Siri 30/23 yang telah dilaksanakan semenjak Jun lalu.

Menurutnya, majlis penganugerahan Beret Biru Pasukan Khas TUDM (PASKAU) telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, hari ini.

“Mereka telah berjaya mengharungi latihan selama lebih kurang 3 bulan seterusnya layak dianugerahkan beret biru yang merupakan lambang kemegahan PASKAU,” katanya.

TUDM menjelaskan, Kursus Komando TUDM Siri 30/23 telah bermula pada 25 Jun 2023 dengan pelaksanaan latihan pra kursus dengan melibatkan 53 orang penuntut.

“Setelah tamat latihan pra kursus, seramai 43 orang telah layak mengikuti KKT Siri 30/23 bertempat di Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT), Bukit Ibam bermula 24 Jul hingga 23 Okt 23,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, kursus ini merangkumi 5 modul latihan yang melibatkan latihan peringkat kem, hutan, paya, perairan dan ikhtiar hidup.

“Daripada 43 orang pelatih pada awalnya, hanya 27 orang pelatih sahaja yang berjaya menamatkan kursus,” kata TUDM.

Anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur, Leftenan Ameerul Danial Noridan TUDM telah dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Kursus Komando TUDM Siri 30/23. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #PASKAU #TUDM #Komando

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!