Home Pertahanan dan Keselamatan EKS BERSAMA LIMA 2023: Angkatan Tentera 5 negara kongsi kepakaran hadapi cabaran keselamatan

EKS BERSAMA LIMA 2023: Angkatan Tentera 5 negara kongsi kepakaran hadapi cabaran keselamatan

by Nurulhuda

KUANTAN, 20 OKT – Eksesais BERSAMA LIMA 2023 (BL23) telah selesai dilaksanakan di sebahagian kawasan darat, perairan dan udara Semenanjung Malaysia serta Singapura setelah 2 minggu berlangsung.

Ia merupakan latihan ketenteraan yang melibatkan Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom (UK) di bawah kerangka Peraturan Pertahanan Lima Negara (Five Power Defence Arrangements, FPDA).

Majlis Penutup Eks PP23 telah disempurnakan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom TUDM mewakili Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman di Pusat Peperangan Bersama, Kem Al-Sultan Abdullah, Markas Angkatan Bersama (MK AB), Kuantan.

Panglima Angkatan Bersama dalam ucapannya berkata, eksesais BL23 telah berkembang luas dengan kerja sama agensi kerajaan dan bukan kerajaan terutamanya persediaan dalam melaksanakan bantuan kemanusiaan serta hadapi bencana.

“Sepanjang ia berlangsung, FPDA tetap berpegang pada prinsip penubuhanya iaitu perpaduan memupuk kekuatan yang bermakna 5 negara akan terus bersama dalam menghadapi cabaran di masa depan,” jelasnya.

Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Awam MK AB memaklumkan, latihan ini turut melibatkan kawasan perairan serta udara Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di Laut China Selatan.

Menurutnya, eksesais BL23 ini melibatkan lebih 1,800 orang anggota tentera dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara.

“Sebanyak 7 buah kapal perang, 40 buah pesawat udara pelbagai jenis dan beberapa aset darat milik negara-negara FPDA turut terlibat,

“Eks BL23 adalah bertujuan untuk melatih keupayaan pasukan pertahanan FPDA dalam mengatur-gerak, merancang dan menjalankan operasi di peringkat Combined Joint Task Force (CJTF) dengan mengkhususkan kepada integrasi taktikal gabungan pada persekitaran pelbagai ancaman,

“Eksesais ini bukanlah merupakan suatu bentuk ancaman kepada negara-negara sekitar akan tetapi ianya adalah latihan untuk meningkatkan tahap profesionalisme Angkatan Tentera negara-negara FPDA,” jelasnya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, MK AB memaklumkan, eksesais ini juga memberi peluang serta ruang kepada negara FPDA berkongsi kepakaran dalam menghadapi sebarang bentuk konflik pada masa hadapan.

Dalam majlis tersebut, Noor Mohamad Akmar telah menyerahkan pennant (bendera) kepada wakil
Panglima Angkatan Bersenjata Singapura, Brigedier Jeneral Frederick Choo sebagai simbolik penyerahan penganjuran Eksesais BERSAMA LIMA 2024.

Turut hadir, pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera negara-negara FPDA yang terlibat. -airtimes.my

#pertahanan #airtimes #FPDA #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!