KUALA LUMPUR, 19 OKT – Seluruh dunia perlu mengambil tindakan tegas terhadap Israel yang telah hilang perikemanusiaan berikutan mengebom Hospital Al-Ahli al-Arab di tengah Gaza sehingga menyebabkan 500 orang terbunuh.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mendesak negara-negara Barat, khususnya Amerika Syarikat untuk bertanggungjawab terhadap kegilaan rejim apartheid Zionis membunuh nyawa insan yang tidak berdosa kerana sentiasa berada di belakang Israel untuk bertindak ke atas Palestin.
“Tindakan tidak berperikemanusiaan rejim apartheid Zionis ini harus dihentikan segera bagi mengelakkan tragedi yang lebih buruk dalam sejarah dunia,
“Negara-negara Islam perlu bersatu dan mengambil tindakan yang lebih tegas dalam membela serta mempertahankan rakyat Palestin yang sedang dibunuh secara beramai-ramai,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Menurutnya, konflik yang berlaku itu berpunca daripada sejarah panjang bagaimana Israel secara sistematik menzalimi, membunuh dan merampas tanah rakyat Palestin.
“Saya mendoakan agar saudara kita di Palestin khususnya di Gaza sentiasa dilindungi Allah SWT dan terus berjuang untuk mempertahankan tanah air sendiri,” ujarnya lagi.
Pada Selasa, sekurang-kurangnya 500 rakyat Palestin terkorban dalam serangan udara tentera rejim Zionis Israel ke atas sebuah hospital di tengah Gaza.
Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza memaklumkan, hospital itu berfungsi sebagai tempat perlindungan untuk ribuan penduduk yang meninggalkan kediaman mereka di utara Gaza.
Pihak berkuasa tempatan juga mengesahkan angka kematian itu adalah tertinggi membabitkan serangan tentera Israel dalam masa sehari sejak 2008. -airtimes.my
#semasa #Israel #Palestin #Malaysia #airtimes