[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=qvvChI2B2RI[/embedyt]
PENDANG, 18 OKT – Bunyi letupan dan tembakan memecah keheningan pagi kawasan Pendang.
Elemen Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2RAMD) dari Tentera Darat Malaysia (Tentera Darat) bersama Rifle Company Butterworth (RCB), Tentera Darat Australia (Australian Army) telah melancarkan serangan terhadap kedudukan akhir musuh di kawasan sekitar ladang dan tapak semaian getah di Bukit Perak.
Serangan dimulakan dengan tembakan bantuan artileri dan disusuli oleh tembakan mortar.
Pasukan musuh kemudiannya dikejutkan dengan serangan mengejut oleh infantri dari 2RAMD dan RCB yang muncul dari sisi kedudukan musuh di kawasan bukit.
Serangan berterusan oleh 2RAMD dan RCB telah menyebabkan pasukan musuh berundur bagi memperkuatkan pertahanan di posisi akhir mereka.
Namun begitu, pengunduran musuh ke posisi akhir gagal membendung kemaraan lawan mereka apabila pasukan penggempur 2RAMD yang dikenali sebagai Harimau Malaya tiba melakukan serangan dari arah kedudukan lain.
Pertempuran berterusan selama hampir 1 jam 30 minit itu berakhir dengan kejayaan apabila posisi musuh berjaya ditawan.
Pertempuran di Ladang Bukit Perak yang dilaksanakan pada hari ini merupakan kemuncak Eksesais Haringgaroo yang dilaksanakan semenjak 10 Oktober lalu.
Majlis penutupan eksesais disempurnakan oleh Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Azhan Md Othman. Turut hadir adalah Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Saipol Anuar Jaafar dan Komander 9th Brigade Australian Army; Brigadier Graham Goodwin.
Dalam ucapan penutup eksesais Panglima 2 Divisyen menyatakan latihan bilateral ini memberikan pengalaman tersendiri dan juga berperanan sebagai menimba ilmu baharu di antara kedua-dua pihak.
Beliau menambah, eksesais ini memainkan peranan yang penting dalam mengeratkan kerjasama dan mempertingkatkan daya saling operasi antara Tentera Darat dan Australian Army.
“Apa yang penting dalam eksesais ini adalah perolehan pengalaman dan pelajaran yang baru untuk dibawa pulang demi kebaikan bersama,
“saya percaya tempoh sepanjang menjalani latihan ini, saudara-saudari telah memperolehi ilmu serta pengetahuan yang baru,” katanya.
Eks Haringgaroo Siri 73/2023 merupakan antara latihan bilateral yang diadakan antara Malaysia dan Australia. Latihan ini berkonsepkan peperangan konvesional dan melibatkan 55 pegawai serta 620 anggota lain-lain pangkat.
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Australia #Haringgaroo #2RAMD #RCB