KUALA LUMPUR, 18 OKT – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang merangka dan menyusun program kerjaya kedua untuk veteran AnAgkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membela nasib serta mengeluarkan mereka dari garis kemiskinan.
Menurutnya, penyelesaian jangka panjang itu antara teras kementerian selain penyaluran Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk menjaga kebajikan anggota tentera sama ada berpencen ataupun tidak.
“Isu penyelarasan kadar pencen terkait 2013 itu, kita di kementerian tak nafikan dan secara dasar menyerahkan keputusan mahkamah dan kerajaan mengambil tanggungjawab itu,
“Strategi kita bagaimana menyelesaikan isu anggota kita sama ada berpencen atau tidak antaranya lihat kepada garis kemiskinan semua menjadi teras yang kita tetap bantu melalui BSH,
“Manakala langkah jangka masa panjang pula, bagaimana kita menyusun kerjaya kedua veteran ini kerana kita tahu setiap tahun ada kira-kira 5,000 veteren, jadi menyusun kerjaya kedua satu persoalan cukup penting bagi kita kerana dengan cara ini saja kita dapat mengeluarkan meereka dari garis kemiskinan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Yuneswaran Ramaraj (PH-Segamat) mengenai strategi MINDEF memperkukuhkan kedudukan kewangan bagi menyeragamkan kadar pencen pesara tentera yang diputuskan Mahkamah Persekutuan Jun lalu dan bagaimana Pelan Strategik 2023-2025 (MAMPAN25) direncanakan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) boleh disalurkan untuk pelaksanaan kadar pencen tahunan khususnya pesara berpencen sebelum 2013.
Sementara itu, Adly Zahari turut memaklumkan, pihaknya sedang meneliti cadangan untuk memastikan setiap negeri mempunyai jawatankuasa Jabatan Hal Ehwal VeteranATM (JHEV) bagi melihat keseluruhan permasalahan melibatkan golongan veteran.
Tegasnya, langkah itu merupakan salah satu strategi kerajaan dalam usaha memperkasakan kelangsungan hidup veteran.
“Kita tahu antara cabaran kita ada lebih 213,000 veteran dan kita tahu anggota JHEV terhad untuk melihat keseluruhan veteran,
“Sebab itu memang kita sedang merancang dan usahakan untuk pastikan setiap negeri tiada lagi gabungan contohnya macam kita tengok Melaka dengan Negeri Sembilan serta Kelantan dan Terengganu jadi setiap negeri (perlu ada) jawatankuasa di peringkat hal ehwal veteran itu sendiri,
“Strategi kedua pula, kita sedang tambah kakitangan melalui program Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) yang kita akan libatkan veteran dan persatuan veteran,
“Jadi dengan cara ini kita fikir bahawa anggota veteran itu akan lebih dipedulikan dan program-program kita itu akan sampai di peringkat akar umbi,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang meminta penjelasan berhubung perancangan kerajaan dalam usaha menambah keanggotaan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi membantu para veteran di kawasan pedalaman. -airtimes.my
#pertahanan #veteranATM #airtimes