Home Pertahanan dan Keselamatan MINDEF perinci penglibatan veteran ATM dalam PLKN – Adly Zahari

MINDEF perinci penglibatan veteran ATM dalam PLKN – Adly Zahari

by Bernama

ALOR GAJAH, 16 OKT – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang memperincikan pelbagai aspek termasuk jumlah penglibatan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti keupayaan dan pengalaman veteran ATM yang berpotensi, untuk dilibatkan dalam program berkenaan sekali gus memberikan mereka peluang pekerjaan.

“Jumlah veteran yang terlibat belum kita putuskan.. kita sedang lihat struktur (veteran ATM) kita dan keperluan guna tenaga veteran yang bersesuaian dengan PLKN.

“Ada dalam kalangan veteran ATM memang merupakan seorang jurulatih ketenteraan dan kita juga akan berikan sedikit latihan kepada veteran lain, agar mereka juga boleh menjadi sebahagian jurulatih PLKN,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke tapak pembinaan Kompleks Akademi Al-Bayan di Kampung Pegoh di sini yang turut dihadiri Pengerusi Pertubuhan Akademi AlBayan Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan.

Dalam pada itu, Adly berkata MINDEF sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan veteran ATM dan menyusun atau menawarkan kerjaya baharu kepada golongan itu, agar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik selepas menamatkan perkhidmatan.

Beliau berkata usaha berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama kementerian lain dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengikut kuota ditetapkan.

“Dalam sistem Mindef di bawah kerajaan MADANI (kerajaan Perpaduan), kita memang memberi keutamaan kepada veteran ATM, dalam apa juga program dan Belanjawan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Timbalan Menteri Kewangan I merangkap Ahli Majlis Veteran Kebangsaan Datuk Seri Ahmad Maslan, mencadangkan agar veteran ATM terutama yang berpengalaman dalam bidang ketenteraan dilibatkan dalam pelaksanaan PLKN.

Beliau dilaporkan berkata cadangan berkenaan memberi peluang kepada veteran ATM memberi khidmat latihan sebagai jurulatih PLKN, sekali gus membantu kelancaran program berkenaan.- Bernama

#pertahanan #airtimes #PLKN #ATM #veteran

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!