KUALA LUMPUR, 13 OKT – Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan demi membantu pendapatan pesawah.
Perkara tersebut disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, langkah tersebut diambil susulan rungutan pesawah padi yang berhadapan dengan masalah jualan padi.
“Saya mendengar rungutan pesawah padi apabila harga belian oleh pengilang telah diturunkan kepada tahap minimum RM1,200 per metrik tan sedangkan sebelum ini harga belian oleh pengilang jauh lebih tinggi,
“Kerajaan telah menetapkan harga lantai pada RM1,200 sejak tahun 2014 lagi. Sukacita diumumkan Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per metrik tan demi membantu pendapatan pesawah,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan telah memulakan usaha rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di beberapa kawasan jelapang antaranya di Bota Kiri, Perak; Kangar, Perlis dan Kota Sarang Semut, Kedah.
Jelasnya, langkah ini selari dengan usaha untuk menaik taraf infrastruktur pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Perlis dan Kedah bagi meningkatkan pengeluaran padi dengan pelaburan bernilai RM3 bilion.
Tambahnya, kerajaan juga bersetuju untuk meningkatkan peruntukan subsidi padi bukit atau padi huma daripada RM40 juta kepada RM50 juta dan ini antara lain akan dapat meluaskan kawasan penanaman padi bukit daripada 43 ribu hektar. -airtimes.my