[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=2gX8OJyCe-o[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 13 OKT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaan akan memulakan perolehan aset-aset baharu untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau menyatakan perkara tersebut semasa membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Antara perolehan yang akan dilaksanakan adalah helikopter, kereta perisai, kenderaan taktikal serta kapal misi pesisir (LMS) Batch 2.
“Bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara, kerajaan akan memulakan proses perolehan aset-aset baharu,
“Ini termasuklah perolehan 12 helikopter baharu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
“Perolehan aset-aset utama Tentera Darat Malaysia seperti kereta perisai infantri, High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV),
“Selain itu, kerja-kerja memasang pulih 2 aset kapal selam selain meneruskan perolehan tiga buah Littoral Mission Ship (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya.
Selain daripada itu, Anwar turut mengumumkan perolehan Hovercraft Integrated Fast Interceptor dan kenderaan sokongan pelbagai jenis.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM19.7 bilion kepada Kementerian Pertahanan Malaysia, peningkatan RM2 billion.
Menurut beliau, peningkatan ini adalah bagi memperbaiki keupayaan pertahanan negara dan membeli peralatan yang mempunyai keperluan mendesak.
Beliau turut menegaskan sempadan tanah air terancam dengan “anasir asing yang cuba ganggu gugat negara”.
“Keselamatan negara diasak dengan isu agama, raja dan kaum dijadikan bahan hasutan.
“Benteng sempadan dan perairan negara perlu dipertahankan bagi menjamin keamanan. Keselamatan dalam negara perlu dipelihara bagi mengekalkan keharmonian,” katanya. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #ATM #TenteraDarat #TLDM #TUDM