Home Pertahanan dan Keselamatan APMM rampas 9kg syabu, tahan 14 PATI cuba keluar dari Malaysia

APMM rampas 9kg syabu, tahan 14 PATI cuba keluar dari Malaysia

by Nurulhuda

PELABUHAN KLANG, 13 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor merampas 8 bungkusan disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 9 kilogram (kg) dan menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyeludup keluar dari Malaysia, di Pantai Kelanang, Banting, awal pagi semalam.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Selangor, Sharenliza Ghazali berkata, mereka ditahan pada kedudukan sekitar 0.91 batu nautika barat daya pantai tersebut.

“Satu vesel dalam keadaan mencurigakan telah dikesan di Perairan Tanjung Tongkah dan APMM telah mengatur gerak sebuah bot ronda bagi memintas vesel tersebut,

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot terbabit cuba meloloskan diri dan berlaku adegan mengejar hampir 20 minit,

“Semasa adegan tersebut terdapat beberapa individu bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke hutan bakau Pantai Kelanang sebelum bot berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Sharenliza, pemeriksaan awal mendapati, bot tersebut tiada nombor pendaftaran dan terdapat 9 penumpang wanita Indonesia, 3 lelaki Pakistan dan 2 lelaki Indonesia dalam lingkungan umur 27 hingga 50 tahun tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Bot dan semua PATI itu dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut,

“Hasil pemeriksaan mendapati 2 beg di dalam bot mengandungi 8 bungkusan disyaki dadah jenis syabu seberat lebih kurang 9kg dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Tambah Sharenliza, difahamkan bayaran yang dikenakan untuk menyeludup PATI melalui cara tersebut sekitar RM1,700 seorang dan warga asing berkenaan dipercayai ingin menuju ke Medan serta Dumai, Indonesia.

Sharenliza memaklumkan, kes disiasat bawah Akta Imigresen 1953/63 kerana masuk dan keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan, Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) kerana membawa masuk atau keluar pendatang asing dan Akta Dadah Berbahaya 1952. -airtimes.my

#keselamatan #PATI #APMM #airtimes

Related Articles

Leave a Reply