KUANTAN, 12 OKT 23 – Dua buah pesawat Hawk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melakukan latihan LANDAWAY di Pangkalan Udara Changi, Singapura, semalam.
Manakala, 2 buah pesawat F-16 Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) pula menjalankan latihan Landaway di Pangkalan Udara Kuantan.
Kedua-dua latihan Landaway ini diadakan sempena Eksesais BERSAMA LIMA 23 (BL23) yang bermula sejak 3 Oktober lalu.
Bahagian Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Bersama (MK AB) memaklumkan, latihan bersama ini menyaksikan kerjasama antara TUDM dan RSAF dalam menjalankan latihan taktikal serta meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.
“Beroperasi diluar pangkalan udara negara masing-masing memberikan pendedahan kepada juruterbang serta krew sokongan untuk membangunkan kemahiran serta meningkatkan keupayaan mereka untuk mengendalikan pesawat di lokasi yang berbeza,
“Latihan Landaway juga telah meningkatkan kerjasama operasi secara taktikal dan mengukuhkan hubungan ketenteraan secara profesional antara TUDM dan RSAF,” jelas MK AB menerusi hantaran di media sosialnya malam tadi.
Eksesais BERSAMA LIMA 2023 merupakan antara latihan ketenteraan yang melibatkan Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom (UK).
Ia merupakan latihan ketenteraan tahunan yang dilaksanakan di bawah kerangka Peraturan Pertahanan Lima Negara (Five Power Defence Arrangements, FPDA).
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman semasa majlis pembukaan menyatakan, eksesais yang disertai lebih 2,300 anggota negara FPDA itu membuktikan kerjasama berterusan di antara angkatan tentera dari kelima-lima negara anggota.
Eksesais BL23 ini dilaksanakan secara Field Training Exercise (FTX) di sebahagian kawasan perairan, darat, udara Semenanjung Malaysia dan Singapura termasuk kawasan perairan serta udara Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di Laut China Selatan. -airtimes.my
#TUDM #RSAF #Malaysia #Singapura #airtimes #pertahanan