Home Semasa Misi angkasawan 2007: Malaysia hanya belanja RM16 juta, bukan RM105 juta

Misi angkasawan 2007: Malaysia hanya belanja RM16 juta, bukan RM105 juta

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 OKT – Misi penerokaan Malaysia ke angkasa lepas pada tahun 2007 hanya menelan belanja sebanyak RM16 juta dan bukan RM105 juta seperti yang didakwa.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, kos RM16 juta itu adalah sebahagian daripada perjanjian off-set antara kerajaan Malaysia dengan Rusia, yang merangkumi kos untuk melatih dan menghantar seorang angkasawan Malaysia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

“Kerajaan Malaysia membelanjakan RM16 juta merangkumi kos-kos bagi menjalankan misi saintifik, aktiviti pendidikan, proses pemilihan angkasawan dan latihan di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) serta insurans untuk angkasawan,

“Kerajaan telah menerima pemulangan semula RM16 juta ini dalam bentuk ROV (pulangan nilai) melalui penjanaan ilmu, pembangunan bakat, perkongsian pakar dan sebagainya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Sains dan Teknologi Chang Lih Kang menyifatkan penglibatan Malaysia dalam bidang sains angkasa lepas, termasuk menghantar angkasawan 16 tahun lepas, sebagai berbaloi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera), yang bertanya sama ada penglibatan negara dalam program angkasa lepas pada 2007 bernilai pelaburan berjuta-juta itu berbaloi untuk negara.

Lih Kang menjelaskan, hasil daripada misi itu, negara telah berjaya menjalankan penyelidikan dalam pelbagai bidang, termasuk mikrograviti dalam perubatan dan farmaseutikal, sains hidupan dan bioteknologi.

“Penyelidikan telah menghasilkan kertas kerja saintifik yang diterbitkan dalam jurnal tempatan dan antarabangsa yang seterusnya telah membuka jalan kepada penjanaan ilmu dan pengetahuan baharu,

“Sebanyak lapan pattern daripada penyelidikan di ISS telah difailkan di Malaysia dan juga antarabangsa serta satu trademark,” katanya lagi.

Chang juga berkata penyelidikan itu turut menyumbang kepada faedah ekonomi melalui pembangunan antibiotik baharu untuk industri farmaseutikal, spin-off, dan produk komersial untuk kegunaan industri, terutamanya dalam bidang penghabluran protein.

“Program ini juga membuka peluang kepada negara menjalin kerjasama saintifik dalam program inisiatif mikrograviti antarabangsa bersama Nasa dan lain-lain,

“Sejak 2007, Malaysia telah menghantar seramai 30 penyelidik ke agensi angkasa lepas Korea Selatan; Jepun; Eropah dan India bagi tujuan pembangunan kapasiti dalam teknologi satelit; pengoperasian stesen bumi; latihan pengendalian dan pengurusan fasaliti serta reka bentuk subsistem global navigasi satelit sistem,” katanya.-airtimes.my

#semasa #Malaysia #MOSTI #airtimes #angkasawan

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!