JAKARTA, 12 OKT – Pos kawalan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentara Nasional Indonesia (TNI) yang ditangguhkan akibat penularan wabak pendemik COVID-19 diaktifkan semula.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan yakin kerjasama sempadan akan bertambah baik dengan perjanjian sedia ada termasuk pemeteraian perjanjian antara Putrajaya dan Jakarta merangkumi aspek perdagangan rentas sempadan serta perdagangan sempadan.
“Ini adalah keutamaan kita (Malaysia-Indonesia) sekarang, bagi memastikan sempadan negara diurus dengan baik dan cekap agar kerjasama antara kedua-dua negara dapat dipertingkatkan,
“Hasil kerjasama ini adalah untuk kepentingan rakyat di kawasan itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Umum Sempadan Malaysia-Indonesia (GBC MALINDO) ke-43 dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, Prabowo Subianto, hari ini seperti dilapor Bernama.
Menurutnya, Mesyuarat GBC MALINDO KE-43 yang diadakan di Jakarta hari ini, menjadi bukti bahawa kerjasama serta hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia.
Tegasnya, Mesyuarat GBC Malindo ini perlu diteruskan bagi menangani isu keselamatan dan pembangunan sosio-ekonomi di sempadan serta mengekalkan persekitaran yang selamat.
“Selain itu, hubungan rapat antara Malaysia dan Indonesia memberi manfaat yang besar kepada kedua-dua negara dalam menjaga keamanan serta keselamatan di kawasan sempadan,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Mohamad dan Prabowo juga berazam untuk terus mengekalkan hubungan baik kedua-dua negara terutama dalam memperkukuh kerjasama bagi menangani cabaran di sempadan.
“Satu pencapaian penting untuk diketengahkan ialah kejayaan penyelarasan rondaan bersama antara agensi kedua-dua negara melalui mekanisme kawalan yang diselaraskan,
“Kami telah mengambil langkah ini untuk memerangi pelbagai jenayah rentas sempadan yang mengancam keselamatan dan kestabilan di kawasan sempadan,” kata Prabowo.
Mesyuarat juga membincangkan kemajuan yang dicapai oleh jawatankuasa yang terlibat, seperti Jawatankuasa Peringkat Tinggi, Jawatankuasa Kawalan Operasi Terkoordinasi, Jawatankuasa Kerja Latihan Bersama, dan jawatankuasa lain.
Tambah Mohamad, Mesyuarat GBC Malindo ke-44 akan diadakan di Malaysia tahun depan. -airtimes.my