KUALA LUMPUR, 12 OKT – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menyatakan aktiviti fizikal pembinaan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) telah bermula semenjak penghujung September lalu.
“Kapal LCS pertama akan disiapkan pada Ogos 2024 sebelum menjalani ujian dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),
“Kapal-kapal LCS ini akan diserahkan secara rasmi kepada TLDM secara berperingkat mulai 2026 hingga 2029,” katanya semasa sesi soal jawab di Parlimen, hari ini.
Beliau menambah, 2 ujian yang akan dilaksanakan adalah Ujian Pelabuhan (Harbour Trial) dan Ujian Laut (Sea Trial).
Pada masa yang sama, Adly menegaskan isu pembinaan LCS masih dalam pemantauan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada setiap 3 bulan.
Menurut beliau, wakil Kementerian Pertahanan dan wakil syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) telah dipanggil oleh pihak PAC untuk memberikan penerangan berkaitan status terkini pembinaan LCS.
Dalam pada itu, Adly mengulangi pendirian pihak Kementerian Pertahanan yang sebelum ini menyatakan rumusan PAC berhubung pemeteraian Kontrak Tambahan ke-6 (Supplementary Agreement, SA) adalah tidak tepat.
“Kementerian pertahanan telah mengambil kira semua perkara ini dalam pindaan berkaitan,
“Sebab itu bila dibangkitkan soal kita tidak melibatkan agensi ataupun tidak mendapatkan pandangan daripada itu saya fikir itu tidak tepat,” katanya. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #LCS #TLDM