KUALA LUMPUR, 9 OKT – Pihak Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini mendedahkan perjanjian tambahan (Supplementary Agreement, SA) ke-6 yang dimeterai oleh Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Shipyard (BNSSB) tidak mendapat persetujuan daripada pihak Pejabat Peguam Negara (AGC)
Menurutnya, perjanjian yang dimeterai pada 26 Mei lalu tidak mendapat persetujuan AGC kerana pihaknya telah memaklumkan kepada Kementerian Pertahanan Malaysia bahawa ada tindakan lanjut bagi SA6.
“Sepatutnya ia dikemukakan kembali kepada AGC sebelum ditandatangani,” kata Naib Pengerusi PAC, Wong Shu Qi semasa membentangkan rumusan Laporan Kemajuan Projek Pembangunan LCS.
Laporan tersebut menyentuh kemajuan projek LCS bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023.
“Keputusan MINDEF membelakangkan AGC dalam menandatangani SA6 ialah satu tindakan yang tidak wajar dilakukan,
“Ia boleh memberikan implikasi perundangan kepada kerajaan dan ia tidak boleh berulang,” tegas Wong.
Menurut beliau, lantaran daripada penemuan tersebut, pihak PAC telah mengesyorkan draf kontrak perlu dirujuk, disemak serta mendapat persetujuan AGC.
“Kementerian serta agensi kerajaan hendaklah memastikan supaya deraf kontrak yang dirunding dengan syarikat telah dirujuk dan disemak sebagai teratur,
“Ia perlu dipersetujui oleh AGC terlebih dahulu sebelum ditandatangani,” katanya.
Laporan itu turut menyatakan tiada sebarang kemajuan bagi pembinaan LCS sejak daripada lawatan PAC ke-14 pada 11 Disember 2021 hingga lawatan yang dibuat pada 10 Jun lalu.
Menurutnya, isu utama iaitu detail design LCS masih belum diselesaikan.
“Pada masa kini, ia berada pada kadar 96 peratus kesiapan di peringkat kontraktor pembinaan dengan hanya 84 peratus sahaja telah melalui peringkat pengesahan, verifikasi dan kelulusan oleh pihak Naval Group,
“Bagaimanapun kontraktor pembinaan memberi jaminan bahawa detailed design perlu disiapkan sebelum Ogos 2024 seperti yang terkandung dalam SA 6,” kata laporan itu.
Naval Group merupakan syarikat dari Perancis yang bertindak sebagai penguasa reka bentuk LCS.
Rumusan oleh PAC mendapati tempoh masa pembinaan LCS dilanjutkan lagi kepada 83 bulan.
“Dijangka Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hanya dapat memperolehi kelima-lima LCS pada tahun 2029 berbanding kontrak asal di mana LCS 5 sepatutnya diserahkan pada tahun 2022,” kata laporan itu.
Perjanjian tambahan ke-6 telah dimeterai oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dan BNSSB pada 26 Mei lalu semasa Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023).
Ia dibuat selepas kerajaan pada Januari memutuskan bersetuju untuk meneruskan projek perolehan kapal ini.
Melalui perjanjian ini, MINDEF, TLDM dan BNSSB akan memberikan fokus sepenuhnya dalam memastikan projek LCS berjaya disempurnakan.
Perolehan ini adalah penting dalam meningkatkan keupayaan armada selaras dengan Pelan Transformasi 15to5 TLDM bagi memelihara kedaulatan perairan negara.
Pelaksanaan projek LCS ini akan dipantau melalui Project Monitoring Committee (PMC) yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.
Pada masa sama laporan dan pembentangan secara berjadual kepada Jemaah Menteri. – airtimes.my
#AirTimes #malaysia #Pertahanan #LCS #PAC