Home Teknologi Pertahanan Thailand tangguh pembelian jet pejuang baharu

Thailand tangguh pembelian jet pejuang baharu

by M.Daim

BANGKOK, 6 OKT – Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) dilaporkan akan tangguh perolehan jet pejuang baharu berikutan perubahan polisi kerajaan, baru-baru ini.

Perolehan jet pejuang baharu tersebut sepatutnya menggantikan peranan jet pejuang F-16 yang bakal ditamatkan khidmat pada tahun 2028.

Pelan penggantian jet pejuang F-16 dijadualkan bermula pada tahun ini.

Perkembangan baharu tersebut dilihat bakal menyukarkan lagi pelan modenisasi RTAF yang sebelum ini berhasrat untuk mendapatkan jet pejuang generasi ke-5, F-35A Lightning II tetapi ditolak oleh Washington.

Panglima Tentera Udara Thailand, Air Chief Marshall (ACM) Punpakdee Pattanakul menyatakan RTAF akan mengemukakan pelan terbaru pada tahun hadapan bagi memastikan pelan penggantian F-16 berjalan dengan lancar.

Beliau turut menegaskan, pelan penggantian jet pejuang F-16 tidak boleh ditangguhkan untuk satu tempoh masa yang lama.

“Skuadron F-16 yang sedia ada sudah berusia dan perlu digantikan mulai tahun 2028,

“Pelan baharu mungkin akan bermula pada tahun hadapan bagi memastikan perolehan jet pejuang baharu dapat dilaksanakan pada masa tepat dengan penamatan khidmat F-16,” kata Punpakdee yang dipetik oleh media Thailand.

Sebelum ini, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin menggesa pasukan tentera Thailand untuk menangguhkan perolehan peralatan pertahanan mereka. Ini bagi memberi laluan kepada pihak kerajaan untuk memberi fokus kepada beberapa perkara mustahak.

Punpakdee menyatakan RTAF sedang mengkaji dan menggariskan pelan baharu bagi melakukan perolehan jet pejuang pada tahun 2025.

“Sama ada Gripen atau F-16, perkara tersebut masih belum ditentukan,” katanya.

Laporan itu turut memetik kenyataan Panglima Tentera Udara Thailand yang menolak pihaknya telah melakukan perolehan baharu 3 buah jet pejuang Gripen selepas hasrat membeli F-35 ditolak oleh Washington.

Dalam pada itu, Punpakdee menyatakan RTAF akan memberi fokus kepada membaikpulih dan menyelenggara jet pejuang sedia ada bagi membolehkan ia terus beroperasi.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan perolehan jet pejuang baharu wajar diberikan keutamaan dan perlu dilakukan dalam tempoh yang tepat.

“Perolehan jet pejuang Gripen dari Sweden memerlukan tempoh masa 10 tahun untuk lengkap dan membentuk kekuatan satu skuadron,

“Jet pejuang tidak boleh dihasilkan dan dihantar secara sekaligus. Ini kerana anggota RTAF perlu berlatih serta belajar bagi mengendali dan menyelenggara jet pejuang tersebut,” katanya.

Pada ketika ini, RTAF mengoperasikan jet pejuang 11 buah JAS-39 Gripen, 33 F-5 E/F dan 51 pelbagai varian F-16.

RTAF sebelum ini mengoperasikan 12 buah jet pejuang Gripen buatan Sweden sebelum insiden nahas udara pada tahun 2017. Sehingga kini, jet pejuang yang terhempas tersebut belum diganti sehingga hari ini.

Selain daripada itu, RTAF turut merancang untuk menamatkan khidmat kesemua F-5 E/F dan 33 buah F-16 menjelang tahun 2031. – airtimes.my

#AirTimes #Thailand #RTAF

Related Articles

Leave a Reply