Home Teknologi Pertahanan UAS kini mampu lancar torpedo, adakah akan ubah senario peperangan maritim masa hadapan?

UAS kini mampu lancar torpedo, adakah akan ubah senario peperangan maritim masa hadapan?

by M.Daim

Baru-baru ini, BAE Systems dan Malloy Aeronautics telah berjaya melaksanakan demonstrasi  keupayaan Unmanned Aircraft System (UAS) T-600. Demonstrasi yang dijalankan adalah melancarkan torpedo ringan Stingray dengan menggunakan sistem tersebut.

Ia sekaligus melihat potensi penggunaan UAS untuk peperangan maritim terutamanya dalam peperangan anti kapal selam (Anti-Submarine Warfare, ASW).

T-600 merupakan dron quadcopter yang mampu untuk terbang pada kelajuan 140 kilometer sejam dan berupaya untuk membawa muatan seberat 200 kilogram. Dron ini berupaya untuk terbang sejauh 80 kilometer, bergantung muatan beban yang dibawa.

“UAS ini mempunyai saiz sebuah kereta kecil dan direka untuk dibuka serta dipasang,

“Demonstrator (T-600) telah berjaya melancarkan torpedo latihan Sting Ray,” kata BAE Systems dalam satu kenyataan.

Demonstrasi yang dilaksanakan adalah sebahagian daripada aktiviti eksesais REPMUS (Robotic Experimentation and Prototyping with Maritime Uncrewed Systems). Ia merupakan eksesais terbesar melibatkan pelbagai sistem tanpa pemandu di peringkat global.

UAS T-600 merupakan demonstrator. Segala ujikaji teknologi akan diterapkan pada T-650 yang akan dihasilkan pada masa hadapan.

Menurut BAE, T-600 demonstrator digunakan sebagai platform untuk membangunkan teknologi yang akan digunakan pada T-650. T-650 merupakan UAS yang menggunakan tenaga elektrik dan bakal mempunyai konfigurasi pelbagai bagi tujuan ketenteraan, komersil serta bantuan kemanusian.

“T-650 akan mempunyai ciri keupayaan baharu seperti logistik dan ulang bekal secara automatik, perubatan serta peperangan anti kapal selam,” jelas kenyataan itu.

Malloy Aeronautics merupakan syarikat aeroangkasa yang bermatlamat untuk merevolusikan logistik udara. Syarikat berpangkalan di London ini telah menghasilkan beberapa model dron quadcopter yang berupaya untuk membawa pelbagai berat muatan.

“Kami bertekad untuk merealisasikan konsep idea kepada keupayaan sebenar dengan pantas,” kata Oriol Badia, CEO Malloy Aeronautics.

Menurut beliau, beberapa UAS yang dihasilkan oleh syarikat itu telah diuji dan dioperasikan oleh Amerika Syarikat serta United Kingdom (UK).

Difahamkan torpedo Sting Ray yang dilancarkan dari T-600 adalah varian Mod 2 yang sedang dibangunkan oleh BAE Systems.

Jelas Ketua Sistem Persenjataan Bawah Permukaan, Dave Quick, pembangunan varian ini akan memboleh Sting Ray dilancarkan dari pelbagai platform.

“Pembangunan Sting Ray Mod 2 bukan sahaja memberi fokus kepada keupayaan senjata tetapi mempelbagaikan platform ia dilancarkan,

“Sebagai sebahagian daripada usaha ini, kami sedang memperluaskan platform yang mampu untuk mengoperasikan torpedo ini,

“Selain itu, kami sedang membangunkan mekanisme pengoperasian baharu torpedo, termasuk dron,

“Ini bagi meneroka faedah operasi kepada Peperangan Anti-Kapal Selam serta pertahanan Anti-Torpedo,” katanya.

Sting Ray merupakan torpedo ringan yang digunakan oleh UK, Norway, Romania, Maghribi dan juga Thailand. Sistem persenjataan ini digunakan pada kapal dan juga pesawat bagi membendung ancaman kapal selam.

Varian terkini untuk Sting Ray adalah Mod 1. Menurut BAE Systems, torpedo ini berupaya untuk diintegrasikan kepada kapal dan juga pesawat udara.

“Sting Ray Mod 1 adalah torpedo ringan anti kapal selam yang dilancarkan dari kapal frigat, helikopter dan pesawat rondaan maritim,

“Ia mempunyai sistem panduan akustik yang canggih dan sistem navigasi yang sangat tepat.

“Torpedo ini boleh mengesan, mengenalpasti dan menyerang sasaran secara autonomi,” jelas syarikat UK itu.

Torpedo Sting Ray telah direka semenjak era Perang Dingin dan dilaporkan turut digunakan oleh Tentera Laut Diraja (Royal Navy) United Kingdom semasa Perang Falkland.

Sesuai dengan peredaran zaman, Sting Ray Mod 1 telah dihasilkan dengan menampilkan sistem sonar, navigasi dan bateri yang baharu.

Demonstrasi T-600 semasa Eksesais REPMUS baru-baru ini memberi bayangan peranan UAS dalam peperangan maritim.

Jelas BAE System, torpedo ini mempunyai kos hayat yang rendah.

Melihat kepada kejayaan T-600 dalam melancarkan torpedo Sting Ray, ia telah memungkinkan penggunaan UAS dalam peperangan maritim terutamanya dalam ASW.

Tambahan pula Sting Ray berupaya untuk mengempur sasaran sejauh 8 hingga 11 kilometer dan mampu untuk menyelam pada kedalaman 800 meter. Selain daripada itu, torpedo ini mempunyai kelajuan 45 knot (83 kilometer sejam).

Walaupun data teknikal T-600 menunjukkan ia mampu membawa berat muatan maksimum 200 kilogram dan berat sebenar Sting Ray adalah tidak berpadanan, perkara yang perlu diambil kira adalah demonstrasi ini menggunakan torpedo inert yang lazimnya digunakan untuk tujuan latihan.

Torpedo inert adalah ringan berbanding dengan persenjataan sebenar memandangkan ia tidak mempunyai komponen tertentu seperti kepala peledak dan bahan letupan.

Pun begitu, ini akan memberikan bayangan pembangunan torpedo Sting Ray Mod 2 akan disesuaikan dengan penggunaan UAS sebagai platform pelancar. Selain daripad itu, T-650 yang bakal dihasilkan pula akan mempunyai had muatan maksimum yang lebih tinggi berbanding T-600.

Jika melihat dari sudut pandangan yang lebih luas, penggunaan UAS sebagai salah satu elemen untuk peperangan bawah permukaan bukan lagi mustahil. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #TeknologiPertahanan #BAE #Malloy #T600  #Torpedo

Related Articles

Leave a Reply