JOHOR BAHRU, 27 SEPT – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan untuk merasmikan pangkalan baharu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pangkalan baharu tersebut terletak Mukim Pletong, Johor Bahru.
“Sultan Johor telah berkenan mencemar duli ke Majlis Perasmian dan Penamaan Pangkalan TLDM Johor Bahru di Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM, Bandar Baru Permas Jaya, Masai,” kata TLDM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Menurutnya, Sultan Ibrahim berkenan menandatangani plaque perasmian dan penamaan Pangkalan TLDM Johor Bahru.
“Semasa ketibaan, Baginda menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari KD MALAYA yang terdiri daripada 3 pegawai dan 103 anggota yang diketuai oleh Lt Kdr Norman Ahmad Shaip TLDM,
“Sultan Johor telah dipersembahkan dengan gimik perasmian melibatkan aksi penerjunan anggota Pasukan Khas Laut KD PANGLIMA HITAM secara fast-roping dari pesawat Helikopter Operasi Maritim TLDM,” kata kenyataan itu.
Menurut TLDM, penamaan pangkalan ini adalah bersempena dengan kedudukannya yang berhampiran dengan ibu negeri Johor.
“Cadangan ini mengambil kira nama Pangkalan Utama yang diambil sempena bandar utama yang berhampiran,
“Pangkalan ini terletak di Mukim Plentong, Johor Bahru dengan kawasan seluas 47 ekar,” kata kenyataan itu.
Jelasnya, 17 ekar telah digunakan bagi pembinaan pangkalan dan baki 30 ekar untuk pembangunan akan datang.
Sejarah Pangkalan TLDM Johor Bahru bermula dengan pembinaan yang dilaksanakan 20 Disember 2016 dan telah siap sepenuhnya untuk diserahkan kepada TLDM pada 6 Mac 2020.
Pangkalan ini menjadi penempatan Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM dan KD SRI MEDINI.
“Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM telah berpindah dari Bahagian Pasukan Simpanan Markas Tentera Laut dan beroperasi mulai 10 Februari 2020.,
“Pangkalan baharu ini menjadi penempatan KD SRI MEDINI yang sebelum ini bertapak di kem sementara, Kem Tebrau,” kata kenyataan itu.
Kompleks ini menyediakan pusat latihan yang lengkap dan menempatkan keperluan ketenteraan terkini, keperluan infrastruktur lengkap, keperluan tempat tinggal pegawai dan anggota serta pelatih yang lebih selesa dan mesra pengguna.
Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM merupakan Markas Pemerintah bagi unit-unit Pasukan Simpanan TLDM. Markas bertanggungjawab untuk menggubal dasar, struktur latihan dan pelaksanaan latihan bagi Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM).
“Selain itu, Markas turut berfungsi sebagai pusat latihan bersepadu PSSTLDM dan menjadi garison TLDM di bahagian selatan Semenanjung Malaysia,” katanya.
Turut berangkat ke upacara hari ini adalah Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor; dan Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor.
Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi,; Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob. – airtimes.my