NEW DELHI, 26 SEPT – Panglima-panglima tentera darat dari 35 buah negara telah berkumpul dan hadir di India bagi menghadiri 3 acara persidangan penting – 13th Indo-Pacific Armies Chiefs Conference (IPACC ke-13), 47th Indo-Pacific Armies Management Seminar (IPAMS Ke-47), dan 9th Senior Enlisted Leaders Forum (#SELF Ke-9).
Ketiga-tiga acara ini mungkin tidak segah nama acara atau pun aktiviti antarabangsa yang diketahui umum. Namun, ia merupakan medan yang penting bagi 35 panglima tentera darat dari negara jemputan untuk melakukan perbincangan dan pertemuan bagi menentukan pelbagai perkara.
Persidangan yang berlangsung selama 3 hari ini juga melibatkan kehadiran delegasi Malaysia yang diketuai oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.
“Persidangan ini membuka ruang kepada Panglima Tentera Darat dan pegawai-pegawai kanan tentera darat yang terlibat untuk bertukar pendapat serta pandangan,
“Ini terutamanya melibatkan perkara berkenaan keselamatan dan isu-isu semasa,” kata Tentera Darat Malaysia di akaun media sosial rasminya.
Persidangan yang dianjurkan bersama oleh tentera darat India dan Amerika Syarikat ini bertemakan “Together for Peace: Sustaining Peace and Stability in the Indo-Pacific Region” (Bersama untuk Keamanan: Mengekalkan Keamanan dan Kestabilan di Wilayah Indo-Pasifik).
Pada hari pertama persidangan, Panglima Tentera Darat telah mengadakan pertemuan dengan Commanding General Philippine Army, Lt Gen Roy M. Galido; USARPAC Commanding General, General Charles Flynn; dan Japan Ground Self Defence Force (JGSDF), General Morishita Yasunori.
Air Times dimaklumkan pertemuan ini melibatkan perbincangan kerjasama antara negara, latihan bersama serta halatuju serantau bagi mencapai konteks keselamatan serta kesejahteraan bersama.
Pihak JGSDF menyatakan pertemuan Morishita Yasunori dan Muhammad Hafizuddeain telah berbincang dan bersetuju mengenai kerjasama dengan Tentera Darat.
“Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menjalankan kerjasama dan pertukaran pertahanan dalam pelbagai aspek termasuk HADR,” jelas JGSDF di akaun media sosial rasminya.
Difahamkan, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain turut mengadakan pertemuan dengan General Randy George, Panglima Tentera Darat US semasa sesi ice breakers.
Perkara menarik yang mengenai pertemuan ini adalah kedua-dua Panglima ini pertama kali menghadiri persidangan selepas dilantik menjawat jawatan masing-masing pada bulan ini.
Muhammad Hafizuddeain telah dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-30 pada 6 September lalu manakala Randy George menjawat jawatan Chief of Staff of The United States Army ke-41 pada 21 September.
Diharapkan pertemuan ini akan membuka era kerjasama baharu dan merapatkan hubungan antara Tentera Darat Malaysia dan US Army. Ini dengan melihat beberapa siri latihan yang telah dilaksanakan antara Tentera Darat Malaysia dan US Army Pacific Command (USARPAC).
Sebagai contoh, Eksesais Keris Strike baharu sahaja selesai pada 4 Ogos lalu di pantai timur Semenanjung Malaysia.
Pun begitu, eksesais ini bukanlah satunya latihan yang dijalani oleh Tentera Darat Malaysia bersama negara luar. Ini mengambil kira beberapa siri latihan lain dengan negara jiran dan serantau – sama ada diadakan secara bilateral dan multilateral.
Latihan sebegini merupakan antara medan yang penting kepada Tentera Darat untuk mempelajari sesuatu yang baharu dari dari rakan-rakan mereka semasa latihan.
Mungkin pertemuan Panglima Tentera Darat bersama pegawai-pegawai kanan tentera darat dari negara lain akan mengeratkan kerjasama serantau dalam mendukung keamanan serantau. – airtimes.my