SINGAPURA, 26 Sept – Kerajaan Singapura telah mengesahkan jet pejuang yang dioperasikan oleh Tentera Udara Republik Singapura (Republic of Singapore Air Force, RSAF) telah menjalani tingkat upaya.
Kementerian Pertahanan Singapura dalam satu kenyataan berkata, tingkat upaya tersebut merangkumi pemasangan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan keupayaan tempur dalam pelbagai keadaan cuaca.
“Ini sekaligus membolehkan F-16 berupaya untuk melancarkan serangan tepat dengan menggunakan Laser Joint Direct Attack Munition (LJDAM),
“Selain daripada itu, jet pejuang ini berupaya untuk melaksanakan operasi tempur di udara dengan lebih baik dengan menggunakan misil Python-5,” kata kenyataan.
Menurutnya, sistem datalink turut dipasang dan dipadankan dengan sistem paparan helmet.
“Ini bagi mempertingkatkan keupayaan dan kemampuan juruterbang bagi melaksanakan misi mereka,” jelas kenyataan itu.
Pihak Kementerian Pertahanan Singapura turut mengesahkan penggunaan JHMCS (Joint Helmet Mounted Cueing System) yang membolehkan juruterbang untuk memandu arah penderia serta persenjataan mengikut arah padangan mereka.
Selain daripada itu, tingkat upaya yang telah dilaksanakan pada F-16 tersebut adalah pemasangan kelengkapan peperangan elektronik (EW).
Jelasnya, F-16 akan terus beroperasi sehingga pertengahan dekad 2030. – airtimes.my